‘Dan satu tanda kebesaran Allah bagi mereka adalah malam; kami tinggalkan siang dari (malam) itu, maka seketika itu mereka (berada dalam) kegelapan.’
‘Dan matahari berjalan pada tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.’
‘Dan telah kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga (setelah ia sampai ke tempat peredaran yang terakhir) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.’
‘Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.’ (Surah Yasin, ayat: 37-40)
Apa yang sudah kita capai sepanjang waktu ini? Adakah dengan peningkatan usia, maka bertambah jua ilmu. Adakah dengan peningkatan usia, maka bertambah dalam juga cinta kita pada Rabb yang satu. Bersediakah kita dengan ‘bekal’ untuk meniti kehidupan yang lebih kekal abadi di sana?
Semua soalan ini adalah ditujukan untuk diriku. Pasti setiap soalan-soalan ini menanti debar di dada. Dan pasti jua tiada jawapan yang boleh aku pastikan. Ini kerana setiap waktu dalam kehidupan ini adalah perjuangan yang tidak akan pernah berhenti untuk terus menambah ilmu. Juga kehidupanku ini tidak pernah berhenti untuk terus mendapatkan cinta Mu Ya Rabb. Dan aku sedar masih belum banyak bekal untuk aku bawa bersama dalam meniti kehidupan yang kekal abadi.
Aku malu ketika menadah tangan, meminta terlalu banyak pada Mu. Meminta Kau berikan aku usia yang panjang, kesihatan yang baik dan kebahagian yang sejati. Sedang diri ini terlalu kurang memberi pada Mu. Terkadang diri ini lalai dan leka atas kehidupan dunia yang semakin mencabar. Kesibukan yang menuntut terlalu banyak kesabaran. Maafkan aku atas kedhaifan diri ini. Jangan Kau jauhkan ‘pandangan Mu’ dariku kerana rasa cinta ini semakin dalam aku baja hanya untuk Mu Ya Rabb. Hanya Kau yang selayaknya tempat untuk aku berikan cinta ini.
Terima kasih Ya Allah atas segala nikmat yakni umur yang panjang, rezeki yang halal, kesihatan yang baik dan kebahagiaan kehidupan bersama keluarga dan orang-orang baik yang kau kurniakan berada bersama dalam kehidupanku.
Terima kasih juga Ya Allah atas ujian-ujian yang Kau berikan yang telah banyak mendidik aku untuk menjadi insan yang lebih baik, tabah serta sabar. Demikianlah kata Mu di dalam Al-Quran:-
‘Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Nya lah kami kembali).’ (Surah Al-Baqarah, ayat: 155-156)
‘Tidak! Barangsiapa menyerah diri sepenuhnya kepada Allah, dan dia berbuat baik, dia mendapat pahala di sisi Tuhan Nya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.’ (Surah Al-Baqarah, ayat: 112)
Semoga aku sentiasa berada dalam lindungan Mu dan rahmat Mu. Salam Hari Lahir..