Bismillahhirrahmanirrahim…
Badan ini kurasakan semakin lesu. Namun kugagahkan jua untuk mencoret bicara di alam maya ku ini. Sudah masuk hari ketiga aku diberikan Allah ujian sakit. Aku demam panas. Suhu di badan tidak kusangka menginjakkan ke angaka 38 darjah. Panas sungguh kata doktor. Begitulah kita sebagai manusia adakala sihat, adakala sakit. Tidak lengkap rasanya kalau kita tidak merasai sakit itu. Kala itu selalunya manusia akan mengingati Maha Penciptanya memohon agar dikurangkan segala kesakitan. Aku cuma berharap di waktu ini aku diberikanNYA kekuatan untuk terus bertahan dan sentiasa berdoa dan menjadi lebih sabar dalam dugaanNYA ini.
Apa yang ingin ku coretkan ini adalah sekadar rasa yang ingin ku luahkan. Sebenarnya langkah kaki ini pernah berkali-kali tersadung dalam mengatur kehidupan yang lebih baik dan bahagia. Kebahagian yang diinginkan tidak semudah itu datang tanpa didahului dengan dugaan dan rintangan yang maha hebat. Dugaan serta ujian itu membuatkan aku tersungkur tanpa arah dan tidak mampu untuk bertaut di pautan yang kuat. Apa yang ada hanya sedikit bekalan serta kekuatan dan masih percaya bahawa Engkau sentiasa bersamaku. Aku percaya dengan adanya bekalan itu aku masih boleh berdiri dan bertahan. Aku tidak mahu terus jatuh dan tersungkur sehingga meninggalkan luka yang berdarah dan dalam. Aku harus belajar untuk merawat setiap luka yang ada dan bertahan dengan kesakitan dan kepedihan yang akan aku tanggung.
Perjalanan yang berliku, penuh dengan onak dan duri tidak mahu aku tempuhi lagi. Cukuplah segala keperitan yang aku tanggung ini sendirian. Aku mahu melihat kegembiraan insan-insan yang amat menyayangi dan menghargai diriku. Saat-saat bahagia bersama amat aku rindui. Kebahagian mereka adalah lebih bermakna buat diriku. Janganlah kalian tinggalkan aku sendirian tanpa sokongan. Aku mungkin tidak mampu untuk bertahan dan bersabar tanpa kalian. Tunjukkanlah aku jalan bahagia. Hulurkan tangan dan bawalah aku jauh dari derita ini. Sesungguhnya aku sudah tidak berdaya…
2 comments:
Hidup ada banyak pilihan.
Begitulah harapnya nadzri.. "Hidup ada banyak pilihan".
Post a Comment