Sunday, September 28, 2008

~Salam Lebaran~


Buat teman-teman yang diingati, di sini aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kiranya ada kesilapan dan keterlanjuran kata, keterlaluan tingkah dan terkasar bicara yang mengguris hati dan perasaan. Aku bukan manusia sempurna. Sebaliknya penuh dengan kekurangan. Selamat Menyambut Hari Lebaran. Maaf Zahir & Batin.


Tuesday, September 23, 2008

~Al-Fatihah~


Lenaku dikejutkan dengan sms yang memberi khabar tentang pemergian insan yang begitu tabah dalam menghadapi ujian sakit yang diberikan oleh Allah swt kepadanya. Insan tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21hb September 2008 pada jam 3.35 pagi (lihat entri bertajuk: Moga kau cepat sembuh). Selepas menerima khabar itu ingatanku terus mengimbau saat pertama kali bertemu dan berkenalan dengannya. Ingatan itu datang silih berganti. Ia membuatkan aku sukar untuk melelapkan mata sehinggalah menjelang subuh. Akhirnya di bulan ramadhan yang mulia ini, Allah telah menjemputnya kembali ke rahmatullah. Allah lebih mengetahui dan menyayanginya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diletakkan bersama orang-orang yang beriman.
Al-fatihah....

Wednesday, September 17, 2008

~Hijrah~


Ramadhan hanya tinggal 2 minggu saja lagi. Permulaan ramadhan yang amat tenang rasanya walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan yang turun hampir setiap hari.
Datang juga ujian sakit bagi mengingatkan ku bertapa besarnya nikmat sihat itu. Namun itu semua aku lalui dengan bantuan dan sokongan dari Maha Pencipta dan juga ahli keluarga terutama mak dan bapak. Terlalu sarat rindu untuk bersama keluarga di saat menjalani ibadah puasa yang penuh dengan keberkatan dan kemulian ini. Inilah adat bila berjauhan dengan keluarga. Bak kata orang yang jauh dirindu, yang dekat sentiasa disayang.

Lama benar tidak menari-narikan jemari ini di papan kekunci yang sentiasa menemani waktu sunyi ku. Termenggu seketika. Apalah agaknya yang ingin aku coretkan kali ini. Tiada apa yang istimewanya. Cuma ingin melayarkan perkabaran buat mereka yang mula menjengah ke laman maya ku.

Ramadhan kali ini aku anggap sebagai hijrah ku. Mungkin ingin memulihkan kembali semangat yang telah pudar. Langkah penghijrahan yang aku jalani ini sedikit sebanyak menggembirakan dan menenangkan. Biarlah ianya akan memperbaiki setiap kekurangan yang ada. Biarlah hijrah ini hijrah kebaikan dan penuh keberkatan. Moga aku selalu terpandu dan dipandu ke jalan yang lebih baik. Segala yang tidak baik minta dihindarkan. InsyaAllah.

Selamat Menjalani Puasa yang masih berbaki.

P/S: Buat keluarga dan teman tersayang. Terima kasih atas perhatian yang diberikan.