Saturday, December 31, 2011

:: Coretan 2011 ::


Mengimbas kembali semua peristiwa sepanjang tahun 2011 yang masih segar dalam ingatan dan ada yang samar-samar berbaki dalam ingatan. Pasti ada yang indah tidak lupa juga yang pahit. Dulu, aku sangat gemar melakar setiap detik peristiwa sepanjang menjalani kehidupan di dalam diary. Tetapi, pada tahun 2011 aku tidak menulisnya lagi di dalam diary. Aku masih menyimpan semua diary tahun-tahun yang lepas untuk aku mengingati kembali detik yang mungkin sudah aku lupakan. Terkadang aku tersenyum sendiri saat mengingati setiap detik itu. Ianya sangat indah.

Permulaan tahun 2011, aku sangat sibuk menjalani tuntutan kerja. Terlalu banyak tanggungjawab yang menuntut perhatian untuk diselesaikan. Masalah datang bertimpa-timpa tanpa henti. Aku berperang dengan tekanan dari keja hinggalah manusia. Aku sangat letih menguruskan semuanya hingga terbawa-bawa dalam kehidupan sendiri. Kehidupanku terganggu bila emosi menguasai diri. Saat itu aku perlukan waktu yang menjadi 'penyejuk hati' untuk aku bicara dalam diri. Hari-hari yang dilalui memerlukan kata-kata semangat dari diri sendiri bahawa apa yang sedang dilalui kini adalah sebahagian dari rencah kehidupan sebagai manusia. Keikhlasan yang datang bersama tanggungjawab mula mengendur. Aku tidak mahu manjadi seorang pekerja yang hilang keikhlasan dalam melaksanakan tugas-tugas ku.

Namun aku juga telah membulatkan tekad pada keputusan yang muktamad memilih untuk beralih dan menamatkan tugas-tugas yang selama ini aku pikul dengan penuh rasa tanggungjawab walau tekanan demi tekanan datang tidak di duga. Saat keputusan itu kubuat, aku cukup tenang dan berserah hanya kepada Allah atas perjalananku seterusnya. Tawakal itu adalah penyerahan terakhirku sebagai hamba yang sangat mengharap pertolongan daripada Tuhannya. Akhirnya aku meninggalkan kenangan yang cukup berharga sepanjang berada di IDOTTV SDN BHD. Aku belajar terlalu banyak perkara. Aku sangat bersyukur atas kurniaan Allah ini. Aku mencari kekuatan dan semangat melalui teman-teman yang setia menjadi peniup aura positif dalam diri. Syukur alhamdulillah, aku dapat melihat semuanya melalui penilaian mata hati. Aku lakarkan senyuman di sebalik ujian yang datang. Terlalu banyak hikmah yang datang bersama ujian ini. Terima kasih buat teman-teman setia dan juga insan istimewa yang bukan saja 'bos' malahan telah ku anggap seperti bapa. Tidak berhenti memberikan semangat dan kata-kata nasihat sebagai pedoman menjalani kehidupan seterusnya.

Bos & 'bapa' yang banyak memberikan nasihat

Sahabat setia yang menjadi sumber kekuatan


Di sebalik ujian yang Allah berikan, lahir satu niat dan nikmat yang besar kurniaan dari Allah swt. Niat yang selama ini aku pendam kemas dalam hati. Niat suci yang satu untuk bertamu dalam 'Mahligai Nan Indah Rabb ku'. Menyaksikan segala keagungan dan kebesaran Tuhanku. Merendahkan diri sebagai hamba pada PenciptaNya. Bersujud dan berdoa sepuasnya memohon segala niat yang terbuku dalam sanubari. Aku menjadi teruja bila niat ini aku sampaikan pada ibuku yang tersayang. Ibu menyambut baik niat itu. Segala persediaan mula dilakukan dari segala segi. Fizikal dan spiritual perlu disiapkan seiring dalam menzahirkan niat suci yang satu ini. Allah telah mempermudahkan setiap urusan dan persediaan untuk aku melangkah ke sana. Tanggal April 2011 menjadi detik yang tidak akan aku lupakan. Memijakkan kaki pada bumi yang penuh rahmat dan berkat ‘Tanah Haram Mekah Al-Mukaramah’. Aku rebah sebagai insan yang tidak berdaya menahan kesedihan tatkala melihat Mahligai Nan Indah-Kaabah. Aku insan yang lemah wahai Tuhan. Ampunilah aku..

Rahmat terbesar dari Allah


Setelah beberapa bulan meninggalkan kenangan yang begitu indah di bumi Mekah, aku kembali menjalani kehidupan di bumi asal MALAYSIA. Sebenarnya aku sedikit risau kerana cabaran yang paling besar kini adalah berada di bumi sendiri berbeza di Mekah walaupun terdapat perbezaan dari pelbagai sudut. Untuk kekal dalam meneruskan istiqomah menjalankan tanggungjawab ibadah kepada Allah itu sungguh berat. Kerna di dalam Al-Quran menyebut

‘Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.’
(Al-Baqarah : 45)

Sungguh berat tanggungjawab sebagai hamba di bumi Allah. Walaupun kita tidak dilantik secara khusus untuk menjadi pemimpin. Tetapi manusia dilahirkan dengan tanggungjawab sebagai khalifah untuk sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan menolak segala kemungkaran. Ujian Allah sentiasa menghiasi kehidupan manusia. Aku tidak terkecuali dalam menerima ujian. Aku berusaha untuk mendapat rezeki tanpa mengenal putus asa. Kerna seburuk-buruk manusia adalah manusia yang berputus asa. Banyak perkara-perkara baru yang aku pelajari dalam kehidupan ini. Melihat dugaan dan ujian bukan dari sudut negatif adalah perjuangan yang sangat hebat. Banyak insan-insan yang membantu aku untuk menjadi muslim yang baik. Sentiasa belajar memperbaiki diri untuk memberikan manfaat pada orang lain juga manfaat untuk diri sendiri.

Penulis ini memberikan impak yang besar dalam diriku. Beliau mengajar aku cara melihat kehidupan. Erti hidup dalam memberi. Hayati penulisannya di www.saifulislam.com

Jujurnya, cara dan kehidupan Wardina kini banyak aku ambil untuk aku contohi. Semoga dia tetap sabar dalam menempuh ujian sebagai 'artis'.

Aku mula mengenalinya melalui movie Ketika Cinta Bertasbih. Dia seorang anak muda yang masih menjaga auratnya walaupun dia seorang artis. Punya kelebihan menulis juga. Aku juga mengagumi dia dengan pembawakan diri yang sederhana.


Sekali lagi aku diuji dengan ujian bersama sahabat yang rapat dengan aku. Aku tidak menyangka di sebalik ‘niat suci’ itu ada insan yang tersinggung. Terdapat salah faham yang timbul menjadikan persahabatan mula renggang. Tersemat dalam hati rasa disisihkan oleh sahabat sendiri. Aku tidak menyangka ‘niat suci’ itu menjadi penyebab permasalahan. Aku sentiasa memikirkan cara terbaik untuk penyelesaian masalah ini dan mengetahui punca sebenar serta apa yang perlu dilakukan seterusnya. Mulanya aku buntu tetapi Allah telah menunjukkan jalan yang terbaik buat aku. Aku disedarkan melalui sebuah buka yang meluruhkan setiap ego di dalam diri. Melalui sepotong ayat Al-Quran aku sebak.

Maksudnya; ‘Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.’
(An-Nur : 22)

Maksudnya; ‘Dan tidaklah sama (kesan dan hukumNya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.’
(Al-Fushilat : 34)

Wahai sahabat, sesungguhnya aku ini adalah insan biasa yang dijadikan Allah dengan kelemahan. Aku tidak mahu persahabatan ini terputus walau dugaan datang lebih hebat. Sama-samalah kita berlapang dada menerima ini sebagai dugaan dari Allah.

Sahabat karib yang setia

Selamanya di hati


Penghujung tahun 2011 mungkin ujiannya sedikit berbeza. Aku kini tersenyum tatkala ujian ini datang. Walau ianya sedikit memeranjatkan namun aku memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana insan karib yang pernah berkongsi banyak cerita dan masalah bersama, telah bertemu dengan jodoh yang baik dari Allah. Insan ini pernah menjadi sahabat istimewa tetapi ketetapan Allah itu adalah yang terbaik buat kita sebagai hambaNya. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia dalam dalam kehidupannya. Mudah-mudahan Allah kurniakan dia kebahagiaan yang hakiki.

‘Hidup ini satu perjuangan. Marilah berjuang untuk memperbaiki diri. Berjuang untuk mencari ilmu dan menghiaskan diri dengan akhlak dan adab. Supaya InsyaAllah kita beroleh Taqwa dan mendapat ketenangan hakiki di dalam jiwa. Tidak cukup dengan hanya menjadi seorang Muslim. Kita seharusnya berjuang sedaya upaya untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati’ – Wardina Safiyyah

Semoga dengan kehadiran tahun yang baru dapat kita mempertingkatkan AMAL dan TAQWA kepada Allah swt. Kenalilah dan cintailah Allah sedalam-dalamnya. Moga kita beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. InsyaAllah…

Terima Kasih Ya Allah...

Thursday, December 29, 2011

:: Menyulusuri Rasa ::

Ku susuri malam ini
Yang tidak berbintang sunyi sepi
Juga rembulan dah menghilang
Dalam kelam ku sendiri

Ku mencari hembus bayu
Yang selalu berbisik madah rindu
Kini membisu dalam sayu
Tidak ku temu suaramu

Di jalanan yang berliku
Di saat ku perlukanmu
Tertutup jua segalanya terhadapmu
Di sini ku tersedu-sedu

Setelah cinta pergi
Ku mengusung duka ini diiringi
Kisah janji dimungkiri lagi

...............................................................................................

Malam indah ditemani bulan
Langit terang bersama rembulan
Suasana dingin mengiringi rasa
Bertapa cantiknya malam ciptaan Tuhan

Hati berbisik pada kata yang tak terucap
Menyimpan duka & lara
Menyulusuri setiap rasa
Jiwa yang penuh gelora

Teguh hati memujuk rasa
Pada takdir dan ketentuan Sang Pencipta



*Melodi mengiringi rasa*

Thursday, December 1, 2011

:: Penghargaan buat BicaraSamaAwan ::

Sewaktu mula menulis di blog dulu aku banyak menulis tentang RASA. Setiap apa jua yang menjentik hati aku lukiskan di atas blog ini. Sepanjang menulis sebenarnya, aku sedang berkongsi RASA dengan seorang teman. Teman maya kata orang.

Tulisannya begitu sebati dalam diri. Serasi dalam berkongsi.Tanpa dirancang kami mula bertukar-tukar rasa sehinggalah terciptanya pertemuan. Pertemuan demi pertemuan kami menjadi teman rapat. Berkongsi banyak cerita dunia (mengalahkan pemimpin negara pulak.. hihi..). Dia hebat dikurniakan banyak kelebihan walaupun orangnya bersifat rendah diri. Sentiasa menganggap dirinya SENDIRI.

Tapi kini tidak lagi, dia punya teman maya yang ramai untuk sentiasa berkongsi rasa dan cerita. Kini, setelah melalui banyak cabaran dan suka duka sebagai manusia dia kini mampu tersenyum tiap kali menjengah ke blog sendiri dan membaca setiap komen dari teman-teman yang menyukai tulisannya.

Syabas sahabat! Kau sebenarnya tidak pernah sendiri dalam menjalani hidup ini. Allah telah menghantar orang-orang yang baik untuk kamu. Semoga kau terus menulis dan menghasilkan buku-buku yang baik.

Nantikan...