Thursday, March 11, 2010

:: Terkenang ::


Tarikh ini masih segar walaupun segalanya telah lama berlalu. Kenangan itu datang tanpa dapat dihalang. Yang manis, suka dan gembira membuatku tersenyum dan bahagia. Sebaliknya yang sedih dan duka menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Walau apa pun yang berlaku dulu, telah aku simpan kemas di dalam kamus hidupku. Walau di mana pun dia berada diharapkan semuanya baik-baik belaka. Senyum selalu....

Sunday, February 7, 2010

:: Siapakah diriku? ::


“Jati diri apa yang harus aku cari?” tanyaku di tengah nafas yang hampir putus.


“Siapakah engkau?”


“Siapakah saya?”


“Siapakah dirimu di hadapan Allah Subhanahuwa Taala?”


“Saya makhluk yang diciptakan-Nya.”


“Bukan.”


“Katakan, siapakah diri saya? Siapakah saya? Jati diri apa yang harus saya cari? Ke mana hendak saya mencari? Dengan apa saya harus mencarinya? Kepada siapa saya akan menemukannya? Setelah ketemu, bagaimana dia akan menyelamatkan diri saya? Bagaimana dia akan mengembalikan kebahagian hidup saya dan keluarga saya? Siapakah saya ini? Siapa..?”


“Apa yang harus saya cari?”


“Dirimu.”


“Ya, tapi diri yang mana? Diri yang bagaimana?”


“Saya tidak tahu.”


“Walaupun saya tidak tahu, saya tahu bahawa apabila engkau telah menemukan dirimu, maka engkau akan mendapatkan kemulian dan kebahagian melebihi kemulian dan kebahagian yang pernah engkau rasakan. Barang siapa mengenal dirinya, maka dia akan mengenal Tuhannya. Barang siapa mengenal Tuhannya, maka dia tidak akan lupa terhadap dirinya sendiri. Barang siapa tidak lupa terhadap dirinya sendiri, maka dia kan berbaik-baik kepada Tuhannya, dan Tuhan akan berbaik-baik kepadanya.”


Friday, December 18, 2009

:: Mengharap sinar HIJRAH ::


Mencari makna hijrah
Tatkala hati masih keliru
Teraba-raba dalam gelap perjalanan yang kelam
Gelodak hati tidak tertahan
Menginjak minta diterjemahkan

Apa yang aku cari?
Apa yang aku nanti?
Ke mana hilang sinar itu?
Persoalan demi persoalan
Tanpa jawapan

Ya Rabb
Aku hilang punca
Hilang pedoman
Hilang arah
Mengharap kasih dan Nur Mu

Malam ku sepi tanpa Mu disisi
Hidup ku kosong tidak bertepi

Namun aku yakin
Kau ada dalam hela nafasku
Menemani ku
Dalam HIJRAH KU…

Thursday, December 10, 2009

:: Munajat Cinta ::


Hati terus terpikat pada bait-bait ayat yang di lirikkan. Seperti ada sesuatu yang sungguh menarik tentang novel ini. Novelis muslim terkenal, Taufiqurrahman Al-Azizy menaikkan genre sastera Islami di Indonesia menggunakan pendekatan dakwah secara bersahabat dan menyenangkan.




"Cinta kalau bertunjangkan agama akan membuahkan kebahagian walau pahit di mata dunia. Pandanglah Allah dengan hatimu, bukan dengan fikiranmu. Fikiran dapat memahami, tetapi tidak dapat merasakan. Hanya hati yang dapat merasakan."

Monday, December 7, 2009

:: Scoliosis - Part 2 ::


Bukan mudah menghadapi ujian dan dugaan dari Tuhan kiranya tidak punya semangat yang kuat dari keluarga. Ujian sakit yang Allah turunkan pada hambanya adalah semata-mata untuk menghapuskan semua dosa-dosa.

Ianya sesuatu yang sukar dan di luar jangkaan bila keluarga sendiri mengalaminya. Keperitan dan kesakitan di depan mata amat menguji kesabaran dan emosi. Pengetahuan yang singkat menyukarkan pilihan dan membuat keputusan.

Menjalani detik sukar dan melihat insan yang tersayang menanggung sendirian, sedikit sebanyak membakar semangat untuk terus bertahan. Pengalaman itu aku lakarkan melalui gambar-gambar ini.


Dia disahkan demam. Mungkin kerana tak tidur dan tak makan.


Selepas 5 hari pembedahan. Barulah pihak hospital mengganti balutan dari pembedahan itu. Itupun selepas dia mengadu gatal-gatal pada belakangnya. Bertapa tidak perihatinnya mereka.


Airmata mengalir bila melihat kesakitan yang ditanggung anaknya. Kasih ibu tiada ganti.


Kasih ayah tiada nilainya


Kesan dari pembedahan. Syukur, alhamdulillah akhirnya dia boleh berdiri dan melangkah.

Tuesday, December 1, 2009

:: Scoliosis - Part 1 ::

Sciliosis. Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini. Saya ingin berkongsi sedikit informasi mengenainya.

Pengenalan

Tulang belakang membantu menyokong badan berkedudukan tegak.Setiap orang mempunyai bengkokkan semula jadi di mana sedikit daripada bengkokkan itu diperlukan untuk mengimbangi kedudukan badan, bergerak dan berjalan dengan sempurna.

Apakah skoliosis?
Ia adalah satu keadaan di mana tulang belakang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul. Istilah skoliosis diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud 'bengkok'. Melalui X-ray tulang belakang akan kelihatan seperti huruf S atau C yang sepatutnya kelihatan lurus.

Siapakah yang menghidap skoliosis?

Kanak-kanak
'Infantile scoliosis' - Berlaku pada kanak-kanak berumur di bawah 3 tahun. Mungkin disebabkan oleh:
• Kecacatan sejak lahir
• Penyakit saraf dan otot (distropi otot atau cerebral palsy)
• Kecederaan
• Jangkitan
• Ketumbuhan
'Juvenile scoliosis' - Berlaku pada kanak-kanak berumur 3 - 10 tahun. Ia jarang berlaku.


Remaja

'Adolescent idopathic scoliosis' - skoliosis yang tidak di ketahui puncanya. Ia terjadi selepas seseorang itu berumur lebih daripada 10 tahun dan kerap di temui.

Dewasa
Skoliosis dewasa berpunca daripada penyakit yang dihadapi semasa kanak-kanak tetapi gagal di kesan atau di rawat pada peringkat awal. Selalunya ia bermula dengan keabnormalan yang sederhana dan akan menjadi lebih teruk kerana tidak dirawat. Boleh juga berlaku akibat dari proses penuaan.

Faktor keturunan
Jika ada ahli keluarga mendapat skoliosis kemungkinan ahli keluarga yang lain menghidapi skoliosis agak tinggi iaitu hampir 20%. Jika ada ahli keluarga yang mengalami masalah pembengkokan tulang belakang yang tidak normal, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Punca-punca skoliosis
Kebanyakannya tidak diketahui. Kebanyakan kes-kes berlaku sejak lahir akibat kecacatan tulang belakang kongenital. Ia tidak berpunca dari:
• Duduk membongkok
• Duduk dalam keadaan janggal
• Tidur di atas tilam lama atau nipis
Skoliosis selalunya lebih menonjol atau menjadi lebih teruk semasa fasa pertumbuhan mendadak di alam remaja.

Gejala-gejala
Selalunya tidak sakit pada usia remaja dan belia. Kesakitan selalunya berlaku ketika alam dewasa jika tidak di rawat. Aduan utama pesakit adalah kecacatan bentuk badan. Tanda - tanda lain termasuk:
• Penstrukturan otot belakang yang tidak sama rata
• Penonjolan tulang bahu
• Aras pinggul dan bahu yang tidak sama antara kanan dan kiri
• Kedudukan atau saiz payudara yang tidak sama
• Panjang jarak tangan di sisi badan kiri dan kanan tidak sama
• Baju yang dipakai kelihatan senget

Jika dibiarkan tanpa rawatan:
Skoliosis dewasa yang teruk akan menyebabkan:
• Sakit belakang yang berpanjangan
• Kecacatan bentuk badan
• Kesukaran bernafas

Rawatan
Bagi kes skoliosis ringan, pemerhatian berkala akan dibuat oleh doktor sehingga tahap kematangan tulang hampir sempurna.
• Doktor akan memeriksa perkembangannya untuk memastikan pembengkokan tulang belakang tidak menjadi teruk
• Pesakit akan diminta untuk rawatan ulangan setiap 3 ke 6 bulan

Peralatan khas untuk menyokong tulang belakang ("Bracing")
• Matlamat utama adalah untuk menghalang tulang belakang menjadi lebih bengkok
• Doktor akan mencadangkan untuk memakai peralatan khas (braces) yang sesuai

Pembedahan
• Akan dicadangkan kepada pesakit yang mengalami skoliosis yang teruk
• Pembedahan memerlukan penanaman tulang yang diambil daripada tulang pinggul dan rusuk
• Skru, wayar dan besi khas akan digunakan untuk meluruskan kembali tulang belakang tersebut
• Selepas pembedahan pesakit boleh berjalan tanpa memakai "braces" badan hari ke-2 atau ke-3
• Pesakit akan dibenarkan pulang dalam masa seminggu, seterusnya boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa
• Bersukan dibenarkan selepas 6 ke 9 bulan selepas pembedahan

Petua-petua untuk ibu bapa mengesan skoliosis di peringkat awal:
Skoliosis yang tidak di ketahui puncanya ("idiopathic scoliosis") selalunya gagal dikesan pada kanak-kanak kerana ia tidak sakit pada peringkat awal. Ibu bapa seharusnya berwaspada dan lebih mengambil berat ketika usia anak menjangkau 8 tahun ke atas.
Tanda - tanda yang dapat dilihat pada anak anda:
• Bahu kelihatan tidak sama tinggi
• Salah satu bahagian bahu kelihatan lebih menonjol
• Pinggang kelihatan senget sebelah
• Pinggul kelihatan tinggi sebelah
• Struktur badan membengkok ke arah sebelah sahaja
Jika terdapat salah satu tanda di atas, sila berjumpa doktor dengan segera.

Thursday, November 26, 2009

:: Selamat Hari Lahir Teman ::


Selamat Menyambut Hari Lahir..

Buat teman yang telah menjadi sebahagian dari hidupku

Tanggal 27 November

Sentiasa menjadi ingatan yang tidak pernah padam

Walaupun jarak dan masa selalu memisahkan kita

Namun kau sentiasa dekat bersama


Norlailatul Marini nama diberi

Seindah dan sempurna kejadian Tuhan

Senyumannya menawan


Alhamdulillah,

Allah takdirkan kami bertemu sebagai sahabat

Melayari masa suka dan duka bersama

Duka dikongsi, suka dirai

Sememangnya kau seorang yang kuat

Berbekalkan doa dari keluarga

Semangat dari teman-teman

Akhirnya bahagia Allah kurniakan


Selamat Hari Lahir

Moga panjang umur dan dimurahkan rezeki

Dikurniakan kehidupan yang aman

Bahagia sentiasa bersama insan yang tersayang


Doa dari ku teristimewa buatmu..




Monday, November 23, 2009

:: Tahajjud Cinta ::


Kau datang ketika duka
Dan bintang bercahya
Tunjukku ke jalan syurga


Ku haus di tengah laut

Lemas mencari tempat berpaut

Kirimkan aku kekuatan

Serta pedoman dikesesatan


Ku sunyi dalam gembira

Perih pedih tanggung derita

Sungguh aku bukan wali

Yang suci dari hina dan benci


Terlalu lama aku mencuba

Terlalu banyak cinta yang ku damba

Tiada yang sempurna hanyalah fana

Tuhan.. ampuni hambaMu


Ku rebah di dada malam

Memecah dendam yang lama diam

Ku tanggalkan baju dunia

Dakapku dengan selimut syurga


Ya Tuhanku hanya padaMu

Tempat mengadu segala rindu

Limpahiku rahmat kasihmu

Dalam Tahajjud Cinta bersujud

lihat video di sini

Monday, November 2, 2009

:: Pelengkap kejadian Tuhan ::


Asal kejadian adam dan hawa memang telah ditakdirkan. Mana mungkin adam dan hawa dapat dipisahkan. Terciptanya hawa dari tulung rusuknya adam. Keduanya saling memerlukan dan melengkapi.


Terkadang berantakkan keduanya. Seperti tidak pernah saling kenal mengenali. Adam mungkin menyakitkan hati dan perasaan hawa. Begitu jugak sebaliknya hawa melakukan kepada adam.

Sesekali air mata mengalir akibat dari pergeseran itu. Atau mungkin terzahirnya tindakan di luar kawalan adam melepaskan gelodak perasaan. Mengapa perlu sakit menyakiti? Mengapa perlu luka melukai?

Wednesday, October 28, 2009

:: Doa buatmu AYAH ::


Selamat hari lahir buatmu AYAH.
Moga kau dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik. Moga kau sentiasa di dalam rahmat dan lindungan Allah. Doa kami (anak-anakmu) akan sentiasa menemani setiap hayatmu. Kasih sayang dan pengorban yang kau curahkan selama membesarkan kami akan sentiasa kami kenangan.


Salam penuh kerinduan dari anak-anakmu..

Friday, October 23, 2009

:: Kehidupan ::


Salam buat semua. Agak lama saya meninggalkan ruang ini untuk berbicara. Sesungguhnya masa tidak mengizinkan untuk terus menulis dan berkongsi cerita. Terkadang rasa perjalanan hidup ini semakin sukar. Adakala semangat kian hilang. Kekuatan semakin pudar. Namun segalanya harus diteruskan. Inilah yang dikatakan resam kehidupan.


Tanggungjawab kerja yang menuntut terlalu banyak kommitmen terkadang menduga kesabaran. Apa jua yang berlaku haruslah di pandang dari sudut yang positif supaya segala yang negatif itu dapat di“nyah”kan. Sifat positif mesti menguasai yang negatif untuk mengelakkan “suara-suara” sumbang dari mempengaruhi akal yang waras.


Di samping segala yang sukar, ada juga yang menggembirakan. Kedatangan orang baru dalam keluarga amat membahagiakan. Nurul Aliya Kaisara nama diberi. Kulit putih mulus, pipi gebu dan akal yang bijak itulah dia. Moga kedatangannya menjadikan kami keluarga yang sempurna dan bahagia.


Wednesday, September 9, 2009

:: Kerinduan ::

Meniti akhir-akhir ramadhan yang masih berbaki, hati ini begitu tersentuh. Ada sesuatu yang sukar untuk ku luahkan. Masihkah ada kesempatan untuk merasainya di ramadhan akan datang. Mampukah aku untuk menjalani dengan sempurna. Ketenangan dan kedamaiannya menyentuh jiwa. Kesabaran dan ketaqwaan diuji untuk sentiasa tetap bersama.

Bertapa kerdilnya diri di hadapanMU. Bertapa aku sentiasa mengharapkan pengampunan dan keredhaanMU. Munajatku dan doaku hanyalah untukMU..

Thursday, August 20, 2009

:: Ramadhan Al-Mubarak ::


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sambutlah kedatangannya dengan penuh ketaqwaan dan berlapang dada dalam menjalani ibadahnya. Moga kita sentiasa diberi keberkatan dan kekuatan oleh Allah.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN

Monday, August 3, 2009

:: Berkongsi 1 ::


Pada suatu hari, sepasang suami isteri yang sudah lanjut usianya mengunjungi pejabat pusat bagi mengingati kembali kenangan suka duka semasa mereka aktif bekerja dahulu. Kesempatan bernostalgia ini dimanfaatkan oleh mereka dengan menikmati sup ekor yang terkenal di kantin, yang terletak dalam pejabat pusat itu. Kebetulan pada masa itu juga masa makan tengah hari, maka ramailah pegawai-pegawai yang makan di kantin itu.


Suami isteri ini mula berbaris bagi memesan sup ekor kegemaran mereka. Mereka memesan satu mangkuk sup ekor, sepinggan nasi dan dua gelas teh ais serta satu piring dan mangkuk kosong. Semua yang memerhatikan gelagat suami isteri itu berasa hairan. Mengapa mereka hanya membeli satu mangkuk sup dan nasi sahaja? Malah beberapa orang pekerja sedih melihat kedaifan kedua-dua orang tua itu.


Si suami mula membahagikan nasi dan sup ekor itu kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk dirinya dan satu lagi diserahkan kepada isterinya. Kemudian mereka pun makan. Namun, yang makan hanyalah si suami, manakala si isteri hanya tersenyum menunggu dan melihat suaminya menjamu selera.


Seorang pekerja tiba-tiba berdiri dan berjalan menuju ke meja mereka. Dengan rasa sedih, pekerja itu mempelawa mahu membelanja pasangan berkenaan semangkuk sup ekor lagi. Dia terharu melihat pasangan itu berkongsi satu hidangan sup ekor dan nasi sahaja. Namun, perlawaan itu ditolak lembut dengan menggunakan bahasa isyarat.


Si suami kembali menyambung menikmati makanannya, sementara isterinya hanya memandang sambil tersenyum. Selepas beberapa lama pekerja tersebut datang ke meja pasangan itu dan tidak dapat menahan rasa hairannya lalu bertanya, “ Makcik, saya tengok dari tadi, makcik tidak makan tetapi hanya menunggu dan melihat pakcik makan. Boleh saya tahu, mengapa makcik tidak makan dan apa yang makcik tunggu?” Dengan senyuman, si isteri menjawab, “Makcik tunggu gigi palsu, yang sedang dipakai oleh pakcik itu!”


Monday, July 20, 2009

:: Israk dan Mikraj-27 Rejab ::

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v.
Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.