Wednesday, July 3, 2013

:: Kembara Pencarian Ilmu 2012 ::

Pengisian dan perjalanan 2012 sangat menarik untuk diceritakan. Permulaan tahun yang penuh dengan hikmah di sebalik ujian yang Allah turunkan. Bila mengimbas kembali peristiwa-peristiwa itu aku berasa amat bersyukur menjadi hamba Allah yang diuji. Benarlah kata mereka yang selalu diberi ujian bahawa setiap ujian itu terselit kemanisan yang bukan akan kita rasakan sekarang tetapi datangnya kemudian bersama semangat dan usaha. Mungkin ujianku tidak sehebat mereka yang berjuang mengangkat senjata mempertahankan agama dan berhempas keringat demi kehidupan yang lebih baik. Namun cukuplah ujian itu datang atas kemampuan kita sendiri untuk menghadapinya.

Januari 2012

Setelah menempuh pencarian yang panjang, aku masih terus berdoa serta menanti keputusan temuduga yang bakal diketahui tidak lama lagi. Apakah ianya rezeki yang telah Allah catatkan untukku? Atau aku masih perlu berusaha mencari yang terbaik. Penantian selama beberapa minggu akhirnya membuahkan hasil. Setelah  usaha dan tawakal mengiringi, maka benarlah ianya rezeki yang telah Allah tetapkan untukku. Alhamdulillah, syukur padaMu. Aku yakin Kau selalu ada bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Segala urusan yang berkaitannya aku selesaikan dengan segera. Mempersiapkan diri menempuh keadaan baru.

Februari 2012

Permulaan kembaraku telah bermula bekerja di tempat baru. Mengenali dan mempelajari semua yang baru membangkitkan rasa keterujaan dan keseronokkan. Memang perbezaan suasana yang ketara. Namun itu tidak dijadikan alasan untuk aku tidak boleh meraih pencapaian dan menggunakan segala pengalaman yang ada. Walaupun tidak banyak beza dari segi skop kerja tapi cabaran tetap ada. Berurusan dengan manusia juga antara cabaran besar. Proses pembelajaran mengambil masa. Memerlukan fokus yang tinggi serta sifat amanah dalam pekerjaan. Jika tersilap percaturan, mungkin kita akan terjatuh ke dosa paling berat iaitu RASUAH.

Pada bulan ini juga bermulanya pengisian ilmu dan kembara jati diri dalam meningkatkan pengetahuanku kepada Islam. Menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang pertama anjuran NGO-NGO Islam. Antaranya I Luv Islam.Com, Telaga Biru, Zaharuddin.Net, Mantop Training dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Konvensyen diadakan selama 2 hari di Dewan Merdeka PWTC. Penceramah-penceramah yang terlibat adalah mereka yang dipilih untuk membentang kertas kerja dalam bidang masing-masing. Mereka ini adalah para-para ustaz yang ahli dan memiliki ilmu dari dalam mahupun luar negara.
Dan kenangan yang tidak dapat aku lupakan adalah apabila buat pertama kalinya aku mengenali seorang mufti (Mufti Ismail Menk) yang hebat pada konvensyen ini. Mendengarkan syarahannya, aku jadi bersemangat. Beliau dijemput untuk menyampaikan tazkirah yang bertajuk 'Wasatiyyah' iaitu kesederhanaan dalam Islam. Beliau merupakan seorang mufti yang berasal dari Zimbabwe. Beliau menjelajah keseluruh dunia untuk menyampaikan ceramah dalam pelbagai isu. MasyaAllah, aku terpegun! Bertapa bertuahnya aku dapat hadir pada Konvensyen ini dan buat pertama kalinya juga aku menitiskan air mata kala berada dalam majlis ilmu seperti ini. Mereka yang hadir begitu ramai yang rata-rata terdiri dari pelajar IPT Islam yang memang sudah memiliki ilmu dan asas Islam dengan baik. Namun mereka masih mahu terus belajar dan mencari ilmu. SubhanaAllah. Aku jadi malu pada diriku sendiri.

"Sesungguhnya ilmu manusia itu hanyalah ibarat setitis air laut. Sedangkan ilmu Allah itu amat luas melebihi apa yang ada di bumi ini"

Mengapa masih ada manusia yang lalai dan tidak mahu menuntut ilmu? Sedangkan mereka yang memiliki ilmu itu masih mahu dan bersungguh-sungguh dalam mendapatkannya. Aku jadi cemburu akan mereka.
"Ya Allah, jadikan aku hambamu yang sentiasa mahu belajar dan mencari ilmu. Lapangkan fikiranku dan permudahkanlah bagiku menerima ilmu. Jadikan aku hambamu yang sentiasa cintakan ilmu. Jangan jadikan aku orang yang sombong dan riak atas ilmuku yang hanya sedikit ini. Engkaulah pemilik segala ilmu. Tanpa ilmu dariMu, aku bukanlah siapa-siapa."






Mac 2012

Mac mencatat memori yang begitu indah. Seperti tidak pernah aku bayangkan. Di manakah permulaannya aku mengenali sosok tubuh insan bernama Oki Setiana Dewi ini. Aku mula melihatnya menerusi filem pertama lakonannya iaitu filem Ketika Cinta Bertasbih. Memegang watak Anna Althafunisa telah membawa fenomena baru dalam industri lakonan di Indonesia.  Ramai penonton yang terkesan dan terinspirasi dengan watak yang dibawanya. Buat pertama kalinya seorang pelakon yang memakai tudung memenangi anugerah hebat dalam Indonesia Award. Di sini bermulalah kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan seterusnya penceramah motivasi hebat di Indonesia.

Diundang buat pertama kali oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk Program Bicara Selebriti yang dianjurkan setiap bulan di Kelantan. Membariskan panel-panel yang mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam mencari redha dan cinta Allah. Kedatangannya selama 3 hari ke Kelantan telah menarik minatku untuk berkunjung buat pertama kali juga ke Kelantan. Ianya pengalaman yang amat mengujakan. Negeri yang aman dan damai melahirkan suasana yang luar biasa. Kuliah-kuliah agama terdengar di mana-mana masjid. Sepertinya aku berada di Mekah. Perjalananku ke Kelantan diserikan dengan kejadian yang mengundang sedikit ketakutan. Bus yang aku naiki bersama seorang sahabat mengalami kerosakan. Tayar bus meletop! Nauzubillah.. Perjalanan yang dijangka tiba di Kelantan sebelum subuh berlanjutan lewat ke tengahari. Namun kami bersyukur kerana terselamat dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Program Bicara Selebriti tersebut berlangsung pada malam hari setibanya kami di Kelantan. Program tersebut membariskan panel seperti Kapten Hafiz Firdaus, Sharifah Khasif Fadzilah dan Oki Setiana Dewi. Kapten Hafiz merupakan seorang penulis serta penceramah kontemperori yang mendalami hadis dan ayat-ayat Al-Quran serta mengkaji sirah para nabi dan sahabat. Beliau juga merupakan seorang juruterbang yang berkhidmat dengan Malaysia Airlines. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya, Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam, Pembongkaran Jenayah Ilmiah, Apakah Jihad Di Jalan Allah dan banyak lagi. Sharifah khasif Fadzilah pula merupakan Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009. Membaca dan mendalami Al-Quran seawal umur 4 tahun dan meraih banyak kejayaan dalam pertandingan yang disertainya. Oki Setiana Dewi pula merupakan seorang pelajar, penulis buku, pelakon, penyanyi dan penceramah yang sangat dikenali di Indonesia. Menulis 3 buah buku yang kesemuanya Bestseller seperti Melukis Pelangi, Sejuta Pelangi dan Cahaya Di Atas Cahaya. Mereka-mereka ini berkongsi dan menceritakan pengalaman, kesukaran serta kepayahan dalam kehidupan dan juga bagaimana Allah memberikan mereka hidayah dalam perjalanan hidup masing-masing.
Pengalaman berkunjung ke Kelantan dan bertemu dengan wanita muslimah ini merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kelantan dan Oki Setiana Dewi seperti mempunyai satu 'chemistry'. Memang benar OSD juga telah banyak menginspirasiku dari pelbagai sudut. Bermula dari ilmu, sifat dan perwatakan.







Mei 2012

Warna warni kehidupan sepanjang tahun ini dijalani dengan bahagia. Melihat setiap kejadian dan cerita dari sudut pandang yang berbeza. Walaupun ditempuh dengan sedikit kesukaran, tapi hasil dipenghujungnya masih kita rasakan manis dan penuh hikmah. Begitulah kita selalu disarankan untuk bersabar.
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Minta pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah bersama (menolong) orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah 2:153)

Di penghujung bulan ini aku menghadiri Program Bicara Cinta di Karangkraf, Shah Alam. Program bermula jam 9.00 malam ini membincangkan soal cinta anak muda. Apakah yang dikatakan dengan cinta? Bagaimanakah untuk menghadapi dan menguruskan cinta? Persoalan-persoalan ini sangat menarik untuk dibincangkan melalui perspektif yang sewajarnya. Perkongsian pengalaman dari barisan ahli panel menyentuh pelbagai pandangan mengenainya. Program ini melibatkan barisan panel yang tidak kurang hebatnya. Antaranya Ustaz Tuan Norhisyam Tuan Padang, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Irma Hasmie.




Bulan ini juga adalah bulan kelahiranku. Sebenarnya jarang sekali aku meraikan hari lahirku. Waktu zaman sekolah dulu, kawan-kawan yang selalu memberikan kejutan di hari lahirku. Pernah suatu ketika mereka datang ke rumah beramai-ramai bersama sepotong kek berlilin dan menyanyikan lagu selamat hari jadi pada tepat jam 12 tengah malam. :)
Bila mengingati kembali zaman sekolah, pasti banyak perkara dan peristiwa yang menggembirakan di samping cerita-cerita sedih sepanjang bergelar pelajar. Saat gembira ketika menyertai aktiviti dalam badan beruniform mahupun aktiviti berpersatuan sangat menghiburkan dan menyimpan pengalaman yang cukup bermakna. Dan sekarang saat yang paling menggembirakan adalah bila mana kami masih tetap bersama walaupun keadaan berubah. Komitmen bertambah. Kebanyakkan mereka telah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab besar kepada keluarga. Kami tetap bersama. Bahagia sekali rasanya. Kami masih sangat menghargai bertapa mahalnya nilai persahabatan yang terjalin antara kami. Kenangan yang tersimpan tidak dapat menandingi nilai wang ringgit. Terima kasih kawan-kawan kerana masih tetap ada bersama dalam melakar lagi kenangan-kenangan indah untuk kita.

Jun 2012

Bulan ini sekali lagi aku penuhi dengan pengisian ilmu ke Program 'Moment To Remember' yang dianjurkan oleh One Heart Creative Solution. Program ini diadakan khusus untuk wanita dan tetamu jemputan bagi program ini adalah Oki Setiana Dewi dan Wardina Safiyyah. Beberapa program telah diatur sepanjang OSD berada di sini. Antaranya pelancaran buku terbaru OSD yang kedua bertajuk Sejuta Pelangi serta sesi taaruf dengan ahli-ahli kelab OSD Malaysia dan disusuli dengan Program 'Moment To Remember' di malamnya. Banyak perkongsian ilmu yang diberikan oleh kedua-dua personaliti ini. Oki menceritakan setiap pengalamannya diberi hidayah oleh Allah swt. Dari mula dia menceburi bidang lakonan sehingga sekarang. Tiada yang mudah saat ujian itu datang. Namun Allah sentiasa memberikan pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan menganugerahkan mereka hidayah yang besar nilainya. Selain itu, dia juga berkongsi pengalamannya diberi kesempatan untuk belajar bahasa arab di Universiti Ummul Qura', Mekah. Pengajian dan perjalanannya selama sebulan telah ditulis dalam bukunya yang ketiga, Cahaya Di Atas Cahaya. Manakala Wardina pula banyak menyentuh berkaitan kehebatan-kehebatan wanita-wanita pada zaman Rasulullah saw. Kejayaan serta kekuatan mereka menjadi serikandi Islam yang unggul. Wardina juga berkongsi ilmu tentang sebuah buku yang dirasakan sangat berguna untuk semua muslimah. Buku 'The Ideal Muslimah' banyak memberikan beberapa contoh sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang muslimah. Aku bahagia sekali dapat bersama-sama mereka dalam program ilmu yang telah memberi banyak manfaat ini. Allah masih memberiku kekuatan dan kesihatan serta selalu memudahkan jalanku untuk terus mencari ilmu. Semoga aku tidak berhenti dari terus mencari ilmu. Kerana untuk menjadi lebih baik dari segi akhlak mahupun akidah, ilmu adalah kekuatan penting untuk kita membina jati diri dan memastikan keutuhan ummah.





Oktober 2012

Seminar Baitul Muslim
Seminar ini dianjurkan dengan matlamat mencambahkan pembinaan Baitul Muslim yang sebenar, iaitu rumahtangga yang berteraskan Syariah Islamiyyah ke arah menggapai keredhaan Allah s.w.t. Hal ini seterusnya akan membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang dikasihi Allah s.w.t. Seminar ini juga cuba membetulkan salah faham dan persepsi silap ahli masyarakat tentang konsep sebenar perkahwinan yang telah digariskan oleh Islam.
Seminar kali ini sedikit berbeza. Seminarnya menekankan tentang pembinaan keluarga bermula dari pencarian jodoh itu sendiri. Program seumpama ini adalah pertama kali bagiku. Sememangnya pengisian yang menarik untuk mereka yang masih mencari ilmu tentang pembinaan keluarga, pencarian jodoh juga memahami peranan, sikap dan tanggungjawab pasangan yang Allah jadikan dengan perbezaan dan persamaan.
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Antara mutiara kata yang boleh dikongsikan:-
#Apabila pasangan bersatu hati: mereka bijak memanfaatkan persamaan, juga bijak menguruskan perbezaan
# Memimpin mesti dengan kasih sayang
# Jangan mencari kebahagian dalam rumahtangga, sebaliknya bawalah kebahagian dalam rumahtangga
# Hati dan hati disatukan oleh 'Pencipta Hati' dan iman kepada Allah s.w.t.
# Apakah hukum/formula kasih sayang? Kalau hendak kasih sayang, perlu beri kasih sayang (erti hidup pada memberi)
# Orang yang 'sakit jiwa'nya adalah mereka yang mahukan keadilan dunia
# Terimalah yang dunia ini tidak pernah adil
# Cintailah diri kita terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain
# Kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum mencintai Allah
# Kata Rasulullah: Dosa itu adalah sesuatu yang meresahkan hati
# Manusia menjadi jahat bukan kerana kebetulan tetapi kerana kebiasaan
# Mencari cinta itu - Takbir, Mendapat cinta itu - Takdir
# Cinta yang dicari itu baik, cinta yang ditemui itu lebih baik
# Kita beria-ria untuk berkahwin, tetapi kita belum tentu berkahwin. Tapi adakah kita persiapkan diri untuk mati sedangkan mati itu pasti






November 2012

Tiada yang terindah di dunia bila mana kita memiliki dan bersama insan-insan tersayang. Keluarga, sahabat, saudara-mara, jiran dan masyarakat yang menyayangi. Hidup akan terasa ringan walau dugaan datang mencabar kemampuan kita sebagai manusia. Namun Allah berfirman dalam Al-Quran:-
"Dan Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya" (Surah Al Mu'minun: 62)

Kenangan indah melayari kehidupan bersama orang-orang tersayang sentiasa membuahkan senyuman yang bermakna. Ianya menjadi peniup semangat dan membangkitkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas kurniaannya pada ku.

Disember 2012

Mengakhiri tahun 2012 dengan beberapa harapan melihat perubahan yang lebih baik dalam hidup mahupun negara, InsyaAllah.
1. Menjadikan Islam sebagai 'urat nadi' dalam kehidupan. Hidup berteraskan Islam (walaupun sesukar mana,    bertahanlah!)
2. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah
3. Mengharapkan perubahan pada sistem pentadbiran negara.

No comments: