Bertapa berharganya kesihatan dalam nilai kehidupan manusia. Tiada harga yang dapat dibayar bagi sebuah kesihatan. Itulah nikmat terbesar dari Allah s.w.t kepada manusia. Satu nikamat dari berjuta nikmat kepada makhluknya. Justeru penting bagi manusia menghargai sebuah kesihatan selagi diberi kesempatan. Benarlah bila kita dituntut menghargai lima perkara sebelum datang lima perkara.
1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Lapang sebelum sempit
4. Kaya sebelum miskin
5. Hidup sebelum mati
Namun masih ramai dari kita yang tidak menyedari berharganya sebuah kesihatan. Ramai manusia yang mensia-siakan waktu sihat itu dengan amalan hidup yang tidak sihat dan mengundang bahaya. Budaya merokok, amalan pemakanan yang tidak sihat (makan mengikut hawa nafsu) dan juga perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesihatan. Kebanyakan kita masih belum sedar kepentingan menjaga kesihatan dan tubuh badan kita. Pernah tak kita terfikir bahawa tubuh ini adalah ibarat 'amanah' dari Allah kepada kita. Bagaimanakah sikap kita dalam menjaga 'amanah' dari Allah ini? Adakah kita bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada kesihatan kita? Sikap sebagai seorang pemegang amanah ini amat tinggi nilai dedikasinya. Kesungguhan dan sikap 'preconcious' terhadap kesihatan mewujudkan satu disiplin dalam membentuk gaya hidup yang sihat.
Andai kesihatan yang baik itu Allah ambil dari kita, bagaimanakah rasanya? Hanya mereka yang pernah merasainya sahaja akan dapat memberikan jawapan. Namun, keadaan itu sudah berbeza dari waktu kita sihat. Mungkin akan ada yang berubah. Fizikal, rohani dan mungkin melibatkan mental. Melihat kesusahan serta kesakitan yang ditanggung akibat kekurangan keupayaan dalam menguruskan kesihatan, pasti melahirkan rasa kesedihan dan putus asa. Apatah lagi ianya ditanggung oleh orang-orang yang kita sayang. Terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada keluarga, anak dan ibu bapa. Mereka terpaksa berdiri, menunggu lama untuk mendapatkan rawatan juga ada yang terpaksa mengendong anak yang menangis tanpa henti. Keadaan ini dilihat biasa di hospital-hospital kerajaan yang mana jumlah pesakit yang datang terlalu ramai sehinggakan mereka terpaksa berdiri dan menunggu terlalu lama. Keadaan ini mengundang kesedihan di hati. Mereka pasti tiada pilihan. Kos perubatan yang tinggi memberikan mereka tiada pilihan. Apa yang penting adalah kesembuhan biarpun terpaksa menunggu terlalu lama.
Dugaan penyakit juga musibah ini hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Dia yang berkuasa mendatangkan penyakit dan Dia juga yang Maha Berkuasa menghilangkan segala kesakitan. Tiada apa yang dapat memberikan atau mendatangkan kemudharatan kepada seseorang melainkan dengan kehendak-Nya.
Namun apa yang penting adalah semangat yang berterusan dan doa yang tanpa henti meminta kepada Sang Pencipta yakin Allah s.w.t untuk memberikan segala kemudahan, kesabaran dan kekuatan untuk terus melawan dan menghadapi dugaan sakit. Sudah pasti bukan mudah untuk mereka yang sedang menghadapi ujian sakit ini untuk terus positif. Terkadang, terselit secubit rasa putus asa dan penyerahan diri hanya pada Tuhan dalam menentukan kehidupan seterusnya. Muhasabah diri serta munajat kepada Allah adalah yang terbaik bagi kita sebagai seorang yang lemah dan serba kekurangan. Berpeganglah pada firman Allah dalam Surah Asy-Syarh:
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran di sertai kemudahan. (Ayat 94:5)
InsyaAllah, pertolongan Allah itu pasti ada.
No comments:
Post a Comment