Menantikan malam yang menjanjikan ganjaran dan kebahagiaan.
Malam yang tiada bandingan dari seribu malam.
Apakah persiapan diri? Bersediakah untuk satu pembebasan?
Sepertinya hati ini terganggu. Fikiran terus memikirkan apakah yang telah diberikan sepanjang bulan barakah ini?
Adakah ini persembahan yang terbaik untuk Sang Pencipta, Raja segala Raja?
Sudah cukupkah hanya sekadar berpuasa, solat sunat tarawih dan berada di majlis ilmu? Bertambahkah amalan sesuai usia yang semakin meningkat? Atau hanya amalan ini sekadar seperti budak sekolah yang baru hendak belajar solat.
Hati terus bermain dengan persoalan.
Lailatul Qadar.
“Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.
30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar.
Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.”
– kata-kata dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis yang aku kagumi tulisannya.
Kata Allah dalam Surah Al-Qadr (ayat 1-5):
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.
Penantian malam ini tidak sehebat penantian ‘Syawal’ bagi setengah manusia. Manusia akan sibuk untuk persiapan Raya yang semakin dekat hingga lupa bahawa ramadhan semakin meninggalkan kita dengan ‘hadiah percuma’ dari Allah di akhir ramadhan.
‘Ya Allah jauhilah aku menjadi orang-orang yang lalai dan mensia-siakan ramadhan Mu.’
Amatlah rugi andai kita mensia-siakan ramadhan ini dengan perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat. Pada perkara-perkara yang lagha dan merosakkan IMAN & TAQWA.
Sepuluh yang terakhir ini adalah PERJUANGAN menuntut KEBEBASAN.
Sepuluh yang terakhir ini adalah KESEDIHAN atas pemergian Nya tidak lama lagi.
Kita menghampiri pada pengakhiran dalam menuntut sebuah pembebasan. Bebas dari mengawal diri dalam menyatakan dan menepikan segala kehendak dan kemahuan diri. Berani berkata TIDAK pada keinginan yang tidak perlu.
Bertapa besar ganjaran pahala yang Allah kurniakan kepada mereka yang memanfaatkan sepuluh malam yang terakhir ini. Langit terbuka luas, pintu rahmat dibuka tanpa halangan dan doa dimakbulkan. Itu janji Allah.
Allah is Calling us.
Mari kita memberikan persembahan yang terbaik kepada Pencipta kita ‘Rabbul Jalil’. Persembahan yang ‘high class’ untuk kita menjadi hamba Nya yang tunduk dan patuh. Semoga Allah sentiasa memandang kita dengan pandangan yang mulia.
‘Ya Rabb, ampuni segala dosa-dosaku dan dosa-dosa saudara-saudaraku, umat Islam seluruhnya. Jadikan kami hamba Mu yang tunduk patuh pada perintah Mu, kasihanilah kami yang selalu menzalimi diri kami. Sesungguhnya tanpa Mu kami bukan siapa-siapa. Hanya hamba yang kerdil..’
No comments:
Post a Comment