Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir
Hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani”
Nyanyian lagu yang disampaikan oleh Opick ini membuatkan aku terus berfikir. Menyingkap akan dugaan dan ujian yang datang dalam kehidupan manusia. Dugaan kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai, dugaan berupa sakit dan ada juga dugaan kehilangan harta benda. Allah telah menentukan dan menetapkan setiap ujian bagi setiap manusia. Berselang seli, mewarnai kehidupan manusia.
Saat dugaan datang, ada sesetengah manusia mengggunakan medium dan cara yang salah untuk menyelesaikannya. Amat penting untuk sabar dan bertenang. Supaya caranya mudah ditemui. Supaya akhirnya kita mendapat pahala disebalik ujian itu.
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah 2:153)
Al-Quran yang dilupakan
Menjadikan Al-Quran teman sejati dalam kehidupan. Masih ramai yang terlupa akan peranan Al-Quran sebagai kitab yang memberikan peringatan dan panduan hidup kita. Di dalamnya terdapat penyelesaian bagi semua masalah. Benarlah akan firman Allah:
“Dengan membaca Al-Quran hati-hati akan menjadi tenang”
Berapa ramai manusia yang berjaya hari ini berteraskan prinsip Al-Quran?
Mereka menjadikan Al-Quran sebagai teman, penghibur, pengubat malah sebagai ‘kekasih hati’. Kerinduan pasti datang saat tidak dapat mengalunkan kalam-kalam suci Allah yang indah. Bertapa indahnya saat Allah sedang berbicara dengan kita dengan bahasa Al-Quran.
Dulu aku sering meninggalkan Al-Quran dalam mendepani dan menjalani kehidupan. Kadang ianya aku baca. Kadang ianya aku lupakan. Bila mempunyai waktu lapang, aku membacanya. Ketika hidup dihambat kesibukan ianya aku lupakan. Bertapa kosong hidup ini tanpa Al-Quran. Semakin aku cuba sedaya upaya mendekat pada Al-Quran, hati dan bicara ini sering kaku. Airmata sering kali menitis dan aku akan termenggu seketika. Terkadang bacaanku tersekat-sekat. Tidak dapat aku teruskan. Hanya berdoa pada Allah agar terus dibukakan pintu hatiku untuk terus mencintai Al-Quran. Sentiasa berusaha untuk memahami Al-Quran dan mengambil pengajaran dan peringatan pada kisah-kisah yang terdahulu.
Bila menyedari ilmu Al-Quran dan agamaku masih dangkal, masih terbatas, masih cetek. Aku malu pada diriku sendiri. Ramai remaja yang masih muda mempunyai ilmu agama yang banyak dan bermanfaat kepada masyarakat. Walau masih muda, mereka hebat sekali membaca, menghafal dan memahami Al-Quran. Sedangkan aku, walaupun umur sudah semakin tua, ilmuku masih kurang. Mungkin usia mudaku telah aku sia-siakan. Melewati kehidupan tanpa sasaran dan pencapaian.
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-‘Asr)
Al-Quran itu cahaya
Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Ibrahim 14:1-4)
Al-Quran telah diturunkan kepada seorang manusia yang Allah telah mengangkat darjatnya kepada satu darjat yang paling tinggi disisiNya. Al-Quran diturunkan buat insan bernama Muhammad saw sebagai petunjuk buat semua umat manusia di dunia ini. Mengajak manusia kepada kebenaran dan meninggalkan kebatilan. Mengajak manusia menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang benderang dan mengingatkan manusia kepada hari-hari Allah (peristiwa yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu serta nikmat dan siksaan yang dialami mereka).
Al-Quran adalah ayat-ayat Allah yang akan menerangi setiap hati-hati manusia yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Ianya akan membuatkan kita sering rindu, tersentuh dan sedih saat membacanya dengan khusyuk. Al-Quran akan menguatkan ukhwah dan hati-hati manusia.
Menyatukan kita pada satu kalimah
Suka untuk saya kongsikan tentang isi khutbahyang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal, di mana kita diseru untuk terus belajar & membaca Al-Quran. Dimanakah tujuan dan hala tuju kehidupan kita selain dari berpandukan pada Al-Quran? Jangan malu untuk belajar membaca Al-Quran dengan betul serta memahami makna Al-Quran. Tidak kiralah usia muda ataupun tua. Kita adalah sama di sis Allah. Hanya amal yang membezakan.
~Kita akan rasakan manisnya bila Allah selalu berbicara dengan kita dalam bahasa yang begitu indah. Bahasa Al-Quran~
No comments:
Post a Comment