Wednesday, July 3, 2013

:: Kembara Pencarian Ilmu 2012 ::

Pengisian dan perjalanan 2012 sangat menarik untuk diceritakan. Permulaan tahun yang penuh dengan hikmah di sebalik ujian yang Allah turunkan. Bila mengimbas kembali peristiwa-peristiwa itu aku berasa amat bersyukur menjadi hamba Allah yang diuji. Benarlah kata mereka yang selalu diberi ujian bahawa setiap ujian itu terselit kemanisan yang bukan akan kita rasakan sekarang tetapi datangnya kemudian bersama semangat dan usaha. Mungkin ujianku tidak sehebat mereka yang berjuang mengangkat senjata mempertahankan agama dan berhempas keringat demi kehidupan yang lebih baik. Namun cukuplah ujian itu datang atas kemampuan kita sendiri untuk menghadapinya.

Januari 2012

Setelah menempuh pencarian yang panjang, aku masih terus berdoa serta menanti keputusan temuduga yang bakal diketahui tidak lama lagi. Apakah ianya rezeki yang telah Allah catatkan untukku? Atau aku masih perlu berusaha mencari yang terbaik. Penantian selama beberapa minggu akhirnya membuahkan hasil. Setelah  usaha dan tawakal mengiringi, maka benarlah ianya rezeki yang telah Allah tetapkan untukku. Alhamdulillah, syukur padaMu. Aku yakin Kau selalu ada bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Segala urusan yang berkaitannya aku selesaikan dengan segera. Mempersiapkan diri menempuh keadaan baru.

Februari 2012

Permulaan kembaraku telah bermula bekerja di tempat baru. Mengenali dan mempelajari semua yang baru membangkitkan rasa keterujaan dan keseronokkan. Memang perbezaan suasana yang ketara. Namun itu tidak dijadikan alasan untuk aku tidak boleh meraih pencapaian dan menggunakan segala pengalaman yang ada. Walaupun tidak banyak beza dari segi skop kerja tapi cabaran tetap ada. Berurusan dengan manusia juga antara cabaran besar. Proses pembelajaran mengambil masa. Memerlukan fokus yang tinggi serta sifat amanah dalam pekerjaan. Jika tersilap percaturan, mungkin kita akan terjatuh ke dosa paling berat iaitu RASUAH.

Pada bulan ini juga bermulanya pengisian ilmu dan kembara jati diri dalam meningkatkan pengetahuanku kepada Islam. Menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang pertama anjuran NGO-NGO Islam. Antaranya I Luv Islam.Com, Telaga Biru, Zaharuddin.Net, Mantop Training dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Konvensyen diadakan selama 2 hari di Dewan Merdeka PWTC. Penceramah-penceramah yang terlibat adalah mereka yang dipilih untuk membentang kertas kerja dalam bidang masing-masing. Mereka ini adalah para-para ustaz yang ahli dan memiliki ilmu dari dalam mahupun luar negara.
Dan kenangan yang tidak dapat aku lupakan adalah apabila buat pertama kalinya aku mengenali seorang mufti (Mufti Ismail Menk) yang hebat pada konvensyen ini. Mendengarkan syarahannya, aku jadi bersemangat. Beliau dijemput untuk menyampaikan tazkirah yang bertajuk 'Wasatiyyah' iaitu kesederhanaan dalam Islam. Beliau merupakan seorang mufti yang berasal dari Zimbabwe. Beliau menjelajah keseluruh dunia untuk menyampaikan ceramah dalam pelbagai isu. MasyaAllah, aku terpegun! Bertapa bertuahnya aku dapat hadir pada Konvensyen ini dan buat pertama kalinya juga aku menitiskan air mata kala berada dalam majlis ilmu seperti ini. Mereka yang hadir begitu ramai yang rata-rata terdiri dari pelajar IPT Islam yang memang sudah memiliki ilmu dan asas Islam dengan baik. Namun mereka masih mahu terus belajar dan mencari ilmu. SubhanaAllah. Aku jadi malu pada diriku sendiri.

"Sesungguhnya ilmu manusia itu hanyalah ibarat setitis air laut. Sedangkan ilmu Allah itu amat luas melebihi apa yang ada di bumi ini"

Mengapa masih ada manusia yang lalai dan tidak mahu menuntut ilmu? Sedangkan mereka yang memiliki ilmu itu masih mahu dan bersungguh-sungguh dalam mendapatkannya. Aku jadi cemburu akan mereka.
"Ya Allah, jadikan aku hambamu yang sentiasa mahu belajar dan mencari ilmu. Lapangkan fikiranku dan permudahkanlah bagiku menerima ilmu. Jadikan aku hambamu yang sentiasa cintakan ilmu. Jangan jadikan aku orang yang sombong dan riak atas ilmuku yang hanya sedikit ini. Engkaulah pemilik segala ilmu. Tanpa ilmu dariMu, aku bukanlah siapa-siapa."






Mac 2012

Mac mencatat memori yang begitu indah. Seperti tidak pernah aku bayangkan. Di manakah permulaannya aku mengenali sosok tubuh insan bernama Oki Setiana Dewi ini. Aku mula melihatnya menerusi filem pertama lakonannya iaitu filem Ketika Cinta Bertasbih. Memegang watak Anna Althafunisa telah membawa fenomena baru dalam industri lakonan di Indonesia.  Ramai penonton yang terkesan dan terinspirasi dengan watak yang dibawanya. Buat pertama kalinya seorang pelakon yang memakai tudung memenangi anugerah hebat dalam Indonesia Award. Di sini bermulalah kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan seterusnya penceramah motivasi hebat di Indonesia.

Diundang buat pertama kali oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk Program Bicara Selebriti yang dianjurkan setiap bulan di Kelantan. Membariskan panel-panel yang mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam mencari redha dan cinta Allah. Kedatangannya selama 3 hari ke Kelantan telah menarik minatku untuk berkunjung buat pertama kali juga ke Kelantan. Ianya pengalaman yang amat mengujakan. Negeri yang aman dan damai melahirkan suasana yang luar biasa. Kuliah-kuliah agama terdengar di mana-mana masjid. Sepertinya aku berada di Mekah. Perjalananku ke Kelantan diserikan dengan kejadian yang mengundang sedikit ketakutan. Bus yang aku naiki bersama seorang sahabat mengalami kerosakan. Tayar bus meletop! Nauzubillah.. Perjalanan yang dijangka tiba di Kelantan sebelum subuh berlanjutan lewat ke tengahari. Namun kami bersyukur kerana terselamat dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Program Bicara Selebriti tersebut berlangsung pada malam hari setibanya kami di Kelantan. Program tersebut membariskan panel seperti Kapten Hafiz Firdaus, Sharifah Khasif Fadzilah dan Oki Setiana Dewi. Kapten Hafiz merupakan seorang penulis serta penceramah kontemperori yang mendalami hadis dan ayat-ayat Al-Quran serta mengkaji sirah para nabi dan sahabat. Beliau juga merupakan seorang juruterbang yang berkhidmat dengan Malaysia Airlines. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya, Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam, Pembongkaran Jenayah Ilmiah, Apakah Jihad Di Jalan Allah dan banyak lagi. Sharifah khasif Fadzilah pula merupakan Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009. Membaca dan mendalami Al-Quran seawal umur 4 tahun dan meraih banyak kejayaan dalam pertandingan yang disertainya. Oki Setiana Dewi pula merupakan seorang pelajar, penulis buku, pelakon, penyanyi dan penceramah yang sangat dikenali di Indonesia. Menulis 3 buah buku yang kesemuanya Bestseller seperti Melukis Pelangi, Sejuta Pelangi dan Cahaya Di Atas Cahaya. Mereka-mereka ini berkongsi dan menceritakan pengalaman, kesukaran serta kepayahan dalam kehidupan dan juga bagaimana Allah memberikan mereka hidayah dalam perjalanan hidup masing-masing.
Pengalaman berkunjung ke Kelantan dan bertemu dengan wanita muslimah ini merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kelantan dan Oki Setiana Dewi seperti mempunyai satu 'chemistry'. Memang benar OSD juga telah banyak menginspirasiku dari pelbagai sudut. Bermula dari ilmu, sifat dan perwatakan.







Mei 2012

Warna warni kehidupan sepanjang tahun ini dijalani dengan bahagia. Melihat setiap kejadian dan cerita dari sudut pandang yang berbeza. Walaupun ditempuh dengan sedikit kesukaran, tapi hasil dipenghujungnya masih kita rasakan manis dan penuh hikmah. Begitulah kita selalu disarankan untuk bersabar.
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Minta pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah bersama (menolong) orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah 2:153)

Di penghujung bulan ini aku menghadiri Program Bicara Cinta di Karangkraf, Shah Alam. Program bermula jam 9.00 malam ini membincangkan soal cinta anak muda. Apakah yang dikatakan dengan cinta? Bagaimanakah untuk menghadapi dan menguruskan cinta? Persoalan-persoalan ini sangat menarik untuk dibincangkan melalui perspektif yang sewajarnya. Perkongsian pengalaman dari barisan ahli panel menyentuh pelbagai pandangan mengenainya. Program ini melibatkan barisan panel yang tidak kurang hebatnya. Antaranya Ustaz Tuan Norhisyam Tuan Padang, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Irma Hasmie.




Bulan ini juga adalah bulan kelahiranku. Sebenarnya jarang sekali aku meraikan hari lahirku. Waktu zaman sekolah dulu, kawan-kawan yang selalu memberikan kejutan di hari lahirku. Pernah suatu ketika mereka datang ke rumah beramai-ramai bersama sepotong kek berlilin dan menyanyikan lagu selamat hari jadi pada tepat jam 12 tengah malam. :)
Bila mengingati kembali zaman sekolah, pasti banyak perkara dan peristiwa yang menggembirakan di samping cerita-cerita sedih sepanjang bergelar pelajar. Saat gembira ketika menyertai aktiviti dalam badan beruniform mahupun aktiviti berpersatuan sangat menghiburkan dan menyimpan pengalaman yang cukup bermakna. Dan sekarang saat yang paling menggembirakan adalah bila mana kami masih tetap bersama walaupun keadaan berubah. Komitmen bertambah. Kebanyakkan mereka telah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab besar kepada keluarga. Kami tetap bersama. Bahagia sekali rasanya. Kami masih sangat menghargai bertapa mahalnya nilai persahabatan yang terjalin antara kami. Kenangan yang tersimpan tidak dapat menandingi nilai wang ringgit. Terima kasih kawan-kawan kerana masih tetap ada bersama dalam melakar lagi kenangan-kenangan indah untuk kita.

Jun 2012

Bulan ini sekali lagi aku penuhi dengan pengisian ilmu ke Program 'Moment To Remember' yang dianjurkan oleh One Heart Creative Solution. Program ini diadakan khusus untuk wanita dan tetamu jemputan bagi program ini adalah Oki Setiana Dewi dan Wardina Safiyyah. Beberapa program telah diatur sepanjang OSD berada di sini. Antaranya pelancaran buku terbaru OSD yang kedua bertajuk Sejuta Pelangi serta sesi taaruf dengan ahli-ahli kelab OSD Malaysia dan disusuli dengan Program 'Moment To Remember' di malamnya. Banyak perkongsian ilmu yang diberikan oleh kedua-dua personaliti ini. Oki menceritakan setiap pengalamannya diberi hidayah oleh Allah swt. Dari mula dia menceburi bidang lakonan sehingga sekarang. Tiada yang mudah saat ujian itu datang. Namun Allah sentiasa memberikan pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan menganugerahkan mereka hidayah yang besar nilainya. Selain itu, dia juga berkongsi pengalamannya diberi kesempatan untuk belajar bahasa arab di Universiti Ummul Qura', Mekah. Pengajian dan perjalanannya selama sebulan telah ditulis dalam bukunya yang ketiga, Cahaya Di Atas Cahaya. Manakala Wardina pula banyak menyentuh berkaitan kehebatan-kehebatan wanita-wanita pada zaman Rasulullah saw. Kejayaan serta kekuatan mereka menjadi serikandi Islam yang unggul. Wardina juga berkongsi ilmu tentang sebuah buku yang dirasakan sangat berguna untuk semua muslimah. Buku 'The Ideal Muslimah' banyak memberikan beberapa contoh sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang muslimah. Aku bahagia sekali dapat bersama-sama mereka dalam program ilmu yang telah memberi banyak manfaat ini. Allah masih memberiku kekuatan dan kesihatan serta selalu memudahkan jalanku untuk terus mencari ilmu. Semoga aku tidak berhenti dari terus mencari ilmu. Kerana untuk menjadi lebih baik dari segi akhlak mahupun akidah, ilmu adalah kekuatan penting untuk kita membina jati diri dan memastikan keutuhan ummah.





Oktober 2012

Seminar Baitul Muslim
Seminar ini dianjurkan dengan matlamat mencambahkan pembinaan Baitul Muslim yang sebenar, iaitu rumahtangga yang berteraskan Syariah Islamiyyah ke arah menggapai keredhaan Allah s.w.t. Hal ini seterusnya akan membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang dikasihi Allah s.w.t. Seminar ini juga cuba membetulkan salah faham dan persepsi silap ahli masyarakat tentang konsep sebenar perkahwinan yang telah digariskan oleh Islam.
Seminar kali ini sedikit berbeza. Seminarnya menekankan tentang pembinaan keluarga bermula dari pencarian jodoh itu sendiri. Program seumpama ini adalah pertama kali bagiku. Sememangnya pengisian yang menarik untuk mereka yang masih mencari ilmu tentang pembinaan keluarga, pencarian jodoh juga memahami peranan, sikap dan tanggungjawab pasangan yang Allah jadikan dengan perbezaan dan persamaan.
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Antara mutiara kata yang boleh dikongsikan:-
#Apabila pasangan bersatu hati: mereka bijak memanfaatkan persamaan, juga bijak menguruskan perbezaan
# Memimpin mesti dengan kasih sayang
# Jangan mencari kebahagian dalam rumahtangga, sebaliknya bawalah kebahagian dalam rumahtangga
# Hati dan hati disatukan oleh 'Pencipta Hati' dan iman kepada Allah s.w.t.
# Apakah hukum/formula kasih sayang? Kalau hendak kasih sayang, perlu beri kasih sayang (erti hidup pada memberi)
# Orang yang 'sakit jiwa'nya adalah mereka yang mahukan keadilan dunia
# Terimalah yang dunia ini tidak pernah adil
# Cintailah diri kita terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain
# Kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum mencintai Allah
# Kata Rasulullah: Dosa itu adalah sesuatu yang meresahkan hati
# Manusia menjadi jahat bukan kerana kebetulan tetapi kerana kebiasaan
# Mencari cinta itu - Takbir, Mendapat cinta itu - Takdir
# Cinta yang dicari itu baik, cinta yang ditemui itu lebih baik
# Kita beria-ria untuk berkahwin, tetapi kita belum tentu berkahwin. Tapi adakah kita persiapkan diri untuk mati sedangkan mati itu pasti






November 2012

Tiada yang terindah di dunia bila mana kita memiliki dan bersama insan-insan tersayang. Keluarga, sahabat, saudara-mara, jiran dan masyarakat yang menyayangi. Hidup akan terasa ringan walau dugaan datang mencabar kemampuan kita sebagai manusia. Namun Allah berfirman dalam Al-Quran:-
"Dan Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya" (Surah Al Mu'minun: 62)

Kenangan indah melayari kehidupan bersama orang-orang tersayang sentiasa membuahkan senyuman yang bermakna. Ianya menjadi peniup semangat dan membangkitkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas kurniaannya pada ku.

Disember 2012

Mengakhiri tahun 2012 dengan beberapa harapan melihat perubahan yang lebih baik dalam hidup mahupun negara, InsyaAllah.
1. Menjadikan Islam sebagai 'urat nadi' dalam kehidupan. Hidup berteraskan Islam (walaupun sesukar mana,    bertahanlah!)
2. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah
3. Mengharapkan perubahan pada sistem pentadbiran negara.

Thursday, March 21, 2013

:: Harga Sebuah Kesihatan ::


Bertapa berharganya kesihatan dalam nilai kehidupan manusia. Tiada harga yang dapat dibayar bagi sebuah kesihatan. Itulah nikmat terbesar dari Allah s.w.t kepada manusia. Satu nikamat dari berjuta nikmat kepada makhluknya. Justeru penting bagi manusia menghargai sebuah kesihatan selagi diberi kesempatan. Benarlah bila kita dituntut menghargai lima perkara sebelum datang lima perkara.
1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Lapang sebelum sempit
4. Kaya sebelum miskin
5. Hidup sebelum mati

Namun masih ramai dari kita yang tidak menyedari berharganya sebuah kesihatan. Ramai manusia yang mensia-siakan waktu sihat itu dengan amalan hidup yang tidak sihat dan mengundang bahaya. Budaya merokok, amalan pemakanan yang tidak sihat (makan mengikut hawa nafsu) dan juga perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesihatan. Kebanyakan kita masih belum sedar kepentingan menjaga kesihatan dan tubuh badan kita. Pernah tak kita terfikir bahawa tubuh ini adalah ibarat 'amanah' dari Allah kepada kita. Bagaimanakah sikap kita dalam menjaga 'amanah' dari Allah ini? Adakah kita bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada kesihatan kita? Sikap sebagai seorang pemegang amanah ini amat tinggi nilai dedikasinya. Kesungguhan dan sikap 'preconcious' terhadap kesihatan mewujudkan satu disiplin dalam membentuk gaya hidup yang sihat.

Andai kesihatan yang baik itu Allah ambil dari kita, bagaimanakah rasanya? Hanya mereka yang pernah merasainya sahaja akan dapat memberikan jawapan. Namun, keadaan itu sudah berbeza dari waktu kita sihat. Mungkin akan ada yang berubah. Fizikal, rohani dan mungkin melibatkan mental. Melihat kesusahan serta kesakitan yang ditanggung akibat kekurangan keupayaan dalam menguruskan kesihatan, pasti melahirkan rasa kesedihan dan putus asa. Apatah lagi ianya ditanggung oleh orang-orang yang kita sayang. Terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada keluarga, anak dan ibu bapa. Mereka terpaksa berdiri, menunggu lama untuk mendapatkan rawatan juga ada yang terpaksa mengendong anak yang menangis tanpa henti. Keadaan ini dilihat biasa di hospital-hospital kerajaan yang mana jumlah pesakit yang datang terlalu ramai sehinggakan mereka terpaksa berdiri dan menunggu terlalu lama. Keadaan ini mengundang kesedihan di hati. Mereka pasti tiada pilihan. Kos perubatan yang tinggi memberikan mereka tiada pilihan. Apa yang penting adalah kesembuhan biarpun terpaksa menunggu terlalu lama.

Dugaan penyakit juga musibah ini hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Dia yang berkuasa mendatangkan penyakit dan Dia juga yang Maha Berkuasa menghilangkan segala kesakitan. Tiada apa yang dapat memberikan atau mendatangkan kemudharatan kepada seseorang melainkan dengan kehendak-Nya.

Namun apa yang penting adalah semangat yang berterusan dan doa yang tanpa henti meminta kepada Sang Pencipta yakin Allah s.w.t untuk memberikan segala kemudahan, kesabaran dan kekuatan untuk terus melawan dan menghadapi dugaan sakit. Sudah pasti bukan mudah untuk mereka yang sedang menghadapi ujian sakit ini untuk terus positif. Terkadang, terselit secubit rasa putus asa dan penyerahan diri hanya pada Tuhan dalam menentukan kehidupan seterusnya. Muhasabah diri serta munajat kepada Allah adalah yang terbaik bagi kita sebagai seorang yang lemah dan serba kekurangan. Berpeganglah pada firman Allah dalam Surah Asy-Syarh:
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran di sertai kemudahan. (Ayat 94:5)

InsyaAllah, pertolongan Allah itu pasti ada.


Monday, February 25, 2013

:: Kau hebat dimata ku dik ::


Benarlah firman Allah:
Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.(Surah Ali-Imran:145)

Semoga rohmu tenang dik,
Sesungguhnya perjalananku makin jauh untuk menjadi sepertimu
Semakin engkau percaya Penciptamu ada bersamamu
Semakin kuat engkau melawan kesakitan itu
Bersemadilah engkau wahai penghuni syurga
Sebaik-baik tempat buat insan selayakmu......


RENTETAN PENGALAMAN DI HARI HARI TERAKHIR SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR



6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan. Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami  tidak mencukupi.

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma untuk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 petang, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah dibetulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013 (Khamis)
Selepas Subuh tadi,  kami lawat dia dan bacakan ayat-ayat suci dan syifa’. Dia tenang je. Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang  kawan-kawan yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali-kali dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak.. Tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

Firman Allah:
Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang memiliki) Arasy yang mulia. Dan barangsiapa yang menyembah Tuhan selain Allah, padahal tidaka ada satu bukti pun baginya tentang itu, maka perhitungannya hanya pada Tuhan-Nya. Sungguh orang-orang kafir itu tidak akan beruntung. (Surah Al-Mu'minun: 116-117)

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas muka bumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat-sahabat melihat dia telah makan. Berebut-berebut mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita-cerita lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya. UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar. 
                                 
Lawatan  Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu. Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti-henti masuk ke  telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami  perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman-kuman yang datang menyerang. Hasilnya, kedua-dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat-sahabat amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

Firman Allah:
Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Surah Ali-Imran: 159)

13 Jan 2013 (Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. 
NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN? (Surah Ar-Rahman)

Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala-segalanya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa-apa…dan sentiasa meminta-meminta darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Tak ada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi di luar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali-kali. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’


14 Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam. Batuk-batuk kecil. Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat, Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan  diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung  tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat-ayat suci dan zikir-zikir. Menjelang  tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan  yang teramat sangat tetapi bersyukur terselamat dari situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba-tiba dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dengan selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sangat sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak-anak yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami "Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah.. Allah ada jaga akak kat sini.” Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang-kadang aje, kadang-kadang masa nurse datang, kadang-kadang waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Di pihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yang sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah-buahan. Rakan-rakan pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ada bantal kecil, boleh letak kat leher”  lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya-tanya. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak  solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan-rakan yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar untuk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah.. tangan doktor tu besar, kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar-tampar tangan akak, dicubit-cubit…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih-pilih doktor. Tapi Allah Maha Mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013 (Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak-gerak. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak-lambak muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…"Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab  “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yang sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari  Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dengan kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang-orang yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau macamana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik-adiknya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan-rakan, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik-adik dipujuk agar pakai jubah-jubah dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yang tertinggal sepanjang dia berada di hospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air-air kotor tu dengan cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi,  Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013 (Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan. Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula  diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jangan bimbang, kita orang  Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya.. mak bagi air zam zam ni hanya untuk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni, mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar  ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus-putus membacakan ayat-ayat suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit-sakit. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya: "Allah marah sebab tak dakwah sungguh-sungguh. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk. Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk. Dalam termengah-mengah dia berkata "mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen, dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat untuk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar-kejaran tolak  katil Hajar ke ICU Okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun-bangun lagi.

18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……) saya nampak prosedur tu dari luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…CPR dilakukan di dada, betul-betul di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah. Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yang bekerja  lagi 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (Sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi.. dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ-organ yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar-benar bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK. Kami tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur CPR dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati-hati. “Kalau itu keputusan puan, puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau puan tak mahu lakukan semua yang kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus-putus diziarahi oleh sahabat-sahabat yang mengenali dan bersimpati. Masing-masing ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir.

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dalam doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH. Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang Maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai universiti dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang, (tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan-insan yang jujur menyayanginya.



Note: Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta, Pn Nuraini Binti Che Mat, ibu kepada almarhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. 

Wednesday, January 16, 2013

:: Puisi Tentang Rasulullah ::

Demi Allah tidaklah diperdengarkan nam Sang Kekasih pada orang yang mencintainya, maka akan tersentak gembira dan hilanglah segala kesusahan
Dimanakah Para Pencinta, yang mereka itu rela berkorban dengan nyawa dan meremehkan hal-hal yang berharga (yang bersifat duniawi)
Tidaklah mereka mendengar sebutan nama Thoha Al Musthofa, maka bangkitlah semangat dan hilanglah segala kegundahan hati
Maka bergetarlah roh-roh merindukan perjumpaan dan merintih memohon keredhoan dari TuhanNya
Begitulah keadaan para pencinta, maka dengarlah perjalanan hidup sang pembawa syafa'at dan konsentrasikanlah pendengaran
Maka semaklah akan sifat-sifat Thoha imam yang terpilih dan hadirkanlah hatimu nescaya terpenuhilah hatimu dengan kerinduan padanya

Adakah seseorang yang lebih hebat darinya?
Yang Allah tuhannya membagi padanya rahmat untuk dia bagikan pada semesta?
Yang jutaan malaikat kepadanya tidak berhenti berselawat, matahari kerana doanya tenggelam terlambat, bulan terbelah dan pepohonan sujud padanya
Katakanlah adakah yang lebih indah darinya?
Alif hidungnya, Nun alisnya, dan Mim bibirnya
Jika Yusof mendapat separuh ketampanan, maka dia telah diberi ketampanan sempurna
Adakah yang lebih indah darinya?
Di tangannya ada berkah, di hatinya ada cinta
Di matanya ada telaga, di dalamnya kita bisa berenang dalam sejuk kasihnya
Katakanlah siapa yang lebih hebat darinya?
Kasihnya dirasa hingga bahkan oleh si kafir yang derhaka
Dermawannya tak pernah takut kefakiran mendera
Tawadhuk, sabar, syukur, ikhlas dan selalu berlapang dada
Senyuman dari bibirnya tak pernah sirna
Katakanlah adakah selainnya yang sempurna?
Dia mengingati Allah di setiap waktunya, memberi syafa'at hingga selamat umatnya dari seksa neraka
Berkorban bahkan dengan darah dan air mata


Saksikanlah video ini. Sungguh menyentuh jiwaku..


Kembali kami pada Rabiul Awwal bulanmu

Wednesday, January 2, 2013

:: 2012 ::


2012
Punya kisah bersulam rasa
Juga berjuta cerita
Terlakar di kehidupan
Dalam menjadi hamba di bumi tuhan

Warna warni layarnya
Merentas suka duka
Mencorak diri menjadi terbaik
Pada kanvas yang penuh warna
Hitam putih mematangkan insan
Lalu mendewasakan pemikiran

Perjuangan setiap kita beza
Di atas pentas dunia
Mencari kepuasan serta kebendaan
Berlumba mencapai impian dan hajat
Demi diri, keluarga dan harta selamat

Namun setiap itu
Mencagar masa
Menuntut usaha
Berdepan dugaan
Mahupun ujian

Begitulah resam kehidupan
Sebagai hamba Allah
Dalam meniti titian
Juga percaturan
Yang hebat dan mencabar

Yang sabar pasti berjaya
Yang ingkar mundurlah dia
Begitulah yang tertulis
Pada janji Allah
Di ketentuanNya

Note: nanti cerita-cerita sepanjang 2012 pada entri akan datang :)