Tiada siapa yang mahu ditimpakan musibah dan didatangkan ujian dalam kehidupannya. Namun selagi kita bergelar manusia, pasti ujian akan mendatangi kita. Penting buat manusia untuk mengetahui bahawa setiap ujian itu diberikan oleh Allah untuk menguji sejauh mana ketaqwaan dan keimanan kita seperti di dalam hadis:
"Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, nescaya akan diujinya dengan beberapa kesusahan” – Al-Bukhari dan Muslim
"Seseorang yang tertimpa musibah lalu ia berkata : "Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un dan berdoa : Allahuma jurnii fi musibatii wakhluf liya khairan minhaa (Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik daripadanya). Nescaya Allah akan memberinya pahala kerana musibah itu dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik." (HR. Muslim 3/37-38).
Kemanisan ujian akan kita rasai sekiranya kita mengerti dan sentiasa berusaha untuk memikirkan hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui RAHSIA & HIKMAH di sebalik setiap ujian dan musibah yang berlaku.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا . إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. [Al-Inshirah 94: 5-6]
Mintalah pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah swt, kerana sebaik-baik pelindung adalah hanya kepada Allah swt sahaja. Bertawakal dan berserah kepada Allah, pasti besar ganjaran dan pahalanya.
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا . وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ . وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ . إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ . قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
”…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [Al-Thalaq 65: 2-3]
1 comment:
Setiap kemelut yang melanda, pasti ada jalan penyelesaiannya. Tiada yang kebetulan, melainkan apa yang ditentukan.Apabila diuji, Doa adalah senjata, berikhtiarlah selagi berdaya,yang lain serahkan pada Yang Maha Esa. kerana Dialah yang menentukan segalanya.
Post a Comment