Friday, December 12, 2008

~Peringatan Buat Diri~


Perjalanan masih jauh
Esok masih belum pasti
Adakah diri masih bernyawa lagi
Cukupkah bekal untuk menghadap Ilahi

Aku selalu memikirkan
Bagaimanakah keadaan diri tika maut datang menjemput
Bersediakah aku untuk menghadapinya

Wahai diriku

Kejadianmu cukup sempurna

Sifat dan tingkah pelengkap diri

Kau punya kekurangan

Kau punya kelemahan

Nilai dan hisablah dirimu sentiasa

Sebelum menilai orang lain


Wahai diriku

Bersyukurlah dengan apa yang kau ada

Bersabarlah dengan dugaan dan cubaan

Dunia hanya sementara

Akhirat kekal selamanya


“Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuan- Nya. (Surah Luqman: Ayat 34).

~Doa Mustajab~


Petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab:-

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."

Monday, December 1, 2008

~Aku rimas & lemas~


"Setiap hari"

Kereta api ke KL Sentral penuh dengan manusia
Tersepit dan berhimpit dengan
Melayu, Cina, India, Bangla, Indonesia
Lelaki, Perempuan
Aku rimas dan lemas

Bila perkhidmatan awam ini mahu diperbaiki?
Wahai ketua-ketua, pengarah-pengarah perkhidmatan ini
Yang memandu selesa dengan kereta-kereta mewah
Tidakkah kamu sedar
Sistem yang kamu atur ini semakin menyusahkan
Pak Lah pernah berjanji mahu memperbaikinya
Tapi sehingga hari ini
Apa yang diperbaiki.........?

Saturday, November 29, 2008

~Buat Adikku Yang Tersayang~


Adik ku
Hanya tinggal beberapa jam lagi
Kau bakal menjadi ketua keluarga
Menjadi tunggak kepada sebuah keluarga
Mengemudi kapal yang bakal diduga dengan pelbagai badai
Saat ini pasti emak dan bapak
Memendam pelbagai rasa
Suka, gembira & sedih
Pastinya jugak mak akan mengalirkan air mata
Bila melihat kau akan meninggalkan keluarga
Kakak mu ini mendoakan segala yang terbaik buatmu
Selamat Pengantin Baru..

Thursday, November 20, 2008

~Bicara Hati Yang Gundah~


Telah kau buktikan dengan kata-kata

Telah kau zahirkan dengan tindakan

Ianya terlalu mengguris hati

Melunturkan usaha dan harapan melihat yang terbaik


Hilang upaya dan terpaksa memilih untuk pergi

Itu lebih baik dari terus mencipta sengketa

Prasangka terus kau tanam

Walau hakikat di depan mata

Masih kau sangkal


Tidak mampu untuk meneruskan

Bukan kerna perasaan sudah hilang

Mungkin belum ditakdirkan


Ku selalu berharap

Agar segalanya berubah


Monday, November 17, 2008

~Bicara Hati Yang Gusar~


Apa sebenarnya yang aku mahu
Apa sebenarnya yang aku cari
Mengapa sukar untuk aku cari jawapannya


Sebenarnya aku takut, gusar, gelisah
Mimpi semalam kembali menerjah fikiran

Memori itu silih berganti

Aku takut untuk meneruskan

Langkahku seperti tersekat


Aku inginkan ketenangan
Aku mahukan bulan dan matahari menerangi setiap langkahku

Wahai bulan

Sudikah kau menjadi temanku kala diri ini sepi

Sudikah kau menjadi penyeri hidupku

Sunday, November 16, 2008

~Ayuh Nonton~

4 Jiwa, 2 Cerita, 1 Cinta.

Pagi ini aku mulakan aktiviti hari minggu dengan menonton tv. Tidak banyak cerita yang menarik perhatianku. Channel aku alihkan ke tv2. Di sebalik tabir "Selamat Pagi Cinta" sedang ke udara. Agak menarik juga sedutan-sedutan pada filem itu. Ada sedikit ke'teruja'an di dalam diri. Aku menyimpan hasrat untuk menontonnya. Bila? Dengan siapa? Masih belum pasti.
Ayuh teman, kita nonton ceritera ini..


Saturday, November 15, 2008

~Melayu~


Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat ***nya itu)
Dalam sejarahnya Melayu itu
pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

~Nukilan: Osman Awang~

Friday, November 7, 2008

~Santapan Rohani~



“Di dalam tubuh manusia itu terdapat segumpal daging. Ketika gumpalan daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika gumpalan daging itu buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah gumpalan daging itu adalah hati”.

"Setiap keturunan Adam itu tidak lepas dari melakukan kesalahan (maksiat), dan kesalahan itu (penyelesaiannya) adalah dengan BERTAUBAT”.


Tuesday, October 28, 2008

~Selamat Hari Lahir Ayah~


Selamat Hari Lahir buat ayahandaku yang tercinta. Hari ini adalah hari lahir insan yang amat bermakna dalam hidupku. Terlalu banyak pengorbanan yang telah kau lakukan. Walaupun usia semakin memakan waktu namun kau tetap tersenyum. Walaupun kesihatan semakin tidak menentu kau tetap tersenyum

~ Selamat Hari Lahir Ayah ~ Moga dipanjangkan umur ~ Diberikan kesihatan yang berpanjangan ~ Moga kau sentiasa dilindungi Allah ~

Doa tulus dari anak-anakmu: Normaiza, Mohd Zainuddin, Normarina, Mohd Zahidan.


Wednesday, October 15, 2008

~Khabar Gembira di Bulan Syawal~


Syawal kali ini penuh kegembiraan. Perkhabaran dan berita gembira disusuli dengan kelahiran insana baru dalam keluargaku memberi seribu makna.
Awal Syawal yang lalu sahabat karibku telah melangkah ke satu alam baru (pertunangan). Saat-saat manis itu aku rakamkan buat kenang-kenangan.


Moga berbahagia ke akhir hayat.

Bahagia benar rasanya dapat berkongsi kegembiraan bersama.

Kelahiran puteri sulung ILA & EJOY yang diberi nama Nurul Adriana menyerikan lagi persahabatan kami. Foto-foto si comel Adriana.

Nurul Adriana-rindu sama kamu..

Thursday, October 9, 2008

~Memori Ramadhan~

Orang2 kuat di Sedania Media Group. Segak berbaju melayu.

Sedania Media Group & Clicks Network staff.

My Big Boss (baju purple). But they call him "Chief".


Anak-anak Yatim Taman Medan, Petaling Jaya.

Sunday, September 28, 2008

~Salam Lebaran~


Buat teman-teman yang diingati, di sini aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kiranya ada kesilapan dan keterlanjuran kata, keterlaluan tingkah dan terkasar bicara yang mengguris hati dan perasaan. Aku bukan manusia sempurna. Sebaliknya penuh dengan kekurangan. Selamat Menyambut Hari Lebaran. Maaf Zahir & Batin.


Tuesday, September 23, 2008

~Al-Fatihah~


Lenaku dikejutkan dengan sms yang memberi khabar tentang pemergian insan yang begitu tabah dalam menghadapi ujian sakit yang diberikan oleh Allah swt kepadanya. Insan tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21hb September 2008 pada jam 3.35 pagi (lihat entri bertajuk: Moga kau cepat sembuh). Selepas menerima khabar itu ingatanku terus mengimbau saat pertama kali bertemu dan berkenalan dengannya. Ingatan itu datang silih berganti. Ia membuatkan aku sukar untuk melelapkan mata sehinggalah menjelang subuh. Akhirnya di bulan ramadhan yang mulia ini, Allah telah menjemputnya kembali ke rahmatullah. Allah lebih mengetahui dan menyayanginya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diletakkan bersama orang-orang yang beriman.
Al-fatihah....

Wednesday, September 17, 2008

~Hijrah~


Ramadhan hanya tinggal 2 minggu saja lagi. Permulaan ramadhan yang amat tenang rasanya walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan yang turun hampir setiap hari.
Datang juga ujian sakit bagi mengingatkan ku bertapa besarnya nikmat sihat itu. Namun itu semua aku lalui dengan bantuan dan sokongan dari Maha Pencipta dan juga ahli keluarga terutama mak dan bapak. Terlalu sarat rindu untuk bersama keluarga di saat menjalani ibadah puasa yang penuh dengan keberkatan dan kemulian ini. Inilah adat bila berjauhan dengan keluarga. Bak kata orang yang jauh dirindu, yang dekat sentiasa disayang.

Lama benar tidak menari-narikan jemari ini di papan kekunci yang sentiasa menemani waktu sunyi ku. Termenggu seketika. Apalah agaknya yang ingin aku coretkan kali ini. Tiada apa yang istimewanya. Cuma ingin melayarkan perkabaran buat mereka yang mula menjengah ke laman maya ku.

Ramadhan kali ini aku anggap sebagai hijrah ku. Mungkin ingin memulihkan kembali semangat yang telah pudar. Langkah penghijrahan yang aku jalani ini sedikit sebanyak menggembirakan dan menenangkan. Biarlah ianya akan memperbaiki setiap kekurangan yang ada. Biarlah hijrah ini hijrah kebaikan dan penuh keberkatan. Moga aku selalu terpandu dan dipandu ke jalan yang lebih baik. Segala yang tidak baik minta dihindarkan. InsyaAllah.

Selamat Menjalani Puasa yang masih berbaki.

P/S: Buat keluarga dan teman tersayang. Terima kasih atas perhatian yang diberikan.