Sunday, August 31, 2008

~Menyingkap Tabir Ramadhan~


Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Hadith riwayat Al-Baihaqi di dalam Al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
Maksudnya:
Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

Hadith riwayat Al-Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadith qudsi:
Maksudnya: Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang.


Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang:
Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah swt membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima.

Kedatangannya dinanti, pengisiannya dicari.
Selamat Menyambut Ramadhan.

Wednesday, August 27, 2008

~Kemenangan atas kesabaran~


Kala ini asyik benar aku membaca blog teman-teman mengenai isu pilihan raya kecil Permatang Pauh. Sempat jugak aku singgah di laman blog saudara Najwan, saudara Adihamka begitu juga temanku saudari yang menggelarkan diri “Gadis Reformasi”. Menarik sekali tulisan dan idea teman-teman ini mengulas tentang senario politik tanah air. Sehingga tenggelam seketika bahang sambutan Kemerdekaan kali ke-51 tahun ini.

Bermula dengan sumpah laknat yang dibuat oleh saudara Saiful Bukhari Azlan. Diikuti dengan Timbalan Perdana Menteri kita sendiri (Najib Tun Razak) yang menafikan hubungannya dengan gadis Mongolia. Seterusnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Tajol Rosli menafikan beliau terlibat dengan kes dua exco kerajaan negeri yang ditahan.

Kini, tibalah giliran orang yang dituduh untuk mengangkat sumpah. Bukan sumpah laknat tetapi sumpah keramat. Bukan sumpah sampah (bak kata Najwan) tetapi sumpah mandat yang beri rakyat. Bukan sumpah dihadapan saksi-saksi yang belum ditentukan kelayakannya tetapi sumpah dihadapan Raja yang Berdaulat.

Di harap saudara Anwar dapat memikul tanggungjawab membela nasib rakyat dengan penuh dedikasi demi untuk anak bangsanya sendiri. Angkatlah martabat bangsa dan negara. Moga langkah-langkah ke Putrajaya menjadi kenyataan. InsyaAllah..

Sunday, August 24, 2008

~Kebahagian itu milikmu~


Selangkah kaki mu menuju bahagia telah kau lalui. Kebahagian yang kau impikan selama ini hampir kau kecapi. Terlalu banyak ranjau luka yang kau redahi sehinggakan kau pernah parah dihambat luka semalam.
Teman ku,
Kau cukup kuat kini untuk melangkah dan menggapai bahagia. Kebahagian itu harus kau nanti dengan penuh kesabaran. Luahan hati mu buat jejaka “pencuri hati” amat menyentuh jiwa. Moga si “pencuri hati” itu bisa mengerti dan berkongsi rasa yang tidak mungkin dapat diluahkan walaupun dengan perkataan dan madahmu yang puitis.
Aku sahabat mu mendoakan segala yang terbaik untukmu. Aku tumpang gembira dan bahagia bersama. Sabarlah dalam menjalani dugaan yang akan datang. Semailah rasa cinta itu bersama.
Pasti kau temui kebahagian..

Tuesday, August 12, 2008

~Redha~


Ku minta kepada TUHAN setangkai bunga segar
DIA beriku kaktus berduri
Ku minta kupu-kupu
Diberi ulat berbulu
Apabila aku sedih dan kecewa
Kemudian kaktus itu berbunga indah sekali
Dan ulat itu pun menjadi kupu-kupu yang cantik


Itulah jalan TUHAN, indah pada masanya.
TUHAN tidak selalunya akan memberi apa yang kita harapkan
Tetapi DIA akan memberi apa yang kita perlukan
Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka, tetapi jauh di atas sana segalanya DIA mengatur yang TERBAIK dalam kehidupan kita.

Monday, August 11, 2008

~Moga kau cepat sembuh~


Kepingin benar aku untuk bertemu dengan seorang insan yang aku cukup simpati dengan nasibnya. Di saat-saat kesakitan yang dia hadapi, sempat dia melemparkan senyuman padaku walaupun gelora dan gelisah dihati nampak benar coraknya. Insan ini sedang bergelut dengan dugaan yang telah Allah tentukan untuk hidupnya. Masih terngiyang-ngiyang kata-katanya padaku,

“Abang redha dengan ketentuan yang ditakdirkan. Abang sudah tenang sekarang. Kalau dulu, tiga bulan abang menangis sebab tak boleh terima kenyataan.”

Di saat aku bertemu dengannya buat kali pertama, dia seorang yang sangat baik, peramah dan gemar memberikan nasihat. Kini, walaupun keupayaannya semakin berkurangan dia tetap memberikan nasihat untuk diperingatkan kepada mereka yang masih sihat. Ada juga dia menyatakan hasrat untuk menulis catatan hariannya dan berkongsi cerita dengan mereka yang sihat untuk dijadikan peringatan. Katanya,

“Sewaktu sihat gunakanlah sebaik-baiknya. Bila dah sakit banyak perkara yang tidak dapat kita buat. Bila sakit, solat pun tak khusyuk sebab banyak perkara yang kita fikir dan bayangkan. Tapi, abang redha.”

Sesekali air matanya mengalir tika berkata-kata. Kesedihan dan kekuatan bercampur baur. Rupa bentuk fizikal menunjukkan yang dia berada di dalam keadaan tidak stabil. Ketahanan semangat dan kesetian isteri menemaninya membuatkan dia terus bertahan. “Rumah sakit” diibaratkan seperi rumah keduanya. Kerisauan anak-anak ditenteramkan dengan kata-kata bahawa dia tidak sakit dan tidak apa-apa.

Pendarahan kerap benar berlaku. Kilang darah sudah tidak berfungsi dengan baik. Tanda-tanda merah di badan menunjukkan sistem darahnya berfungsi dengan lemah. Semua itu tidak pernah melunturkan semangatnya. Dia masih terus bertahan dan berusaha untuk melawan penyakitnya. Kagum benar aku melihat kekuaatannya. Akan kupanjatkan doa pada Allah agar kau cepat sembuh. Kau adalah orang-orang yang Allah pilih untuk mendapat kasih sayang dariNYA. Kau adalah hamba-hambaNYA yang soleh. Moga kau sentiasa sabar dan tenang.


Tuesday, August 5, 2008

~Bicara Semangat~

Keheningan malam bagai mengerti
Kesepian yang lalu cuba dilenyapkan
Kekosongan yang lalu cuba diisi
Kekuatan ku sisip meneruskan perjalanan

Kuatkan langkahmu
Kuatkan semangatmu
Teruskan perjalananmu

Moga kekuatan itu kau raih
Moga kecekalan itu membimbing semangat
Sabar dan tenang itu bekalmu
Jalanilah ianya dengan senyuman
Pasti Allah bersamamu..