Monday, August 11, 2008

~Moga kau cepat sembuh~


Kepingin benar aku untuk bertemu dengan seorang insan yang aku cukup simpati dengan nasibnya. Di saat-saat kesakitan yang dia hadapi, sempat dia melemparkan senyuman padaku walaupun gelora dan gelisah dihati nampak benar coraknya. Insan ini sedang bergelut dengan dugaan yang telah Allah tentukan untuk hidupnya. Masih terngiyang-ngiyang kata-katanya padaku,

“Abang redha dengan ketentuan yang ditakdirkan. Abang sudah tenang sekarang. Kalau dulu, tiga bulan abang menangis sebab tak boleh terima kenyataan.”

Di saat aku bertemu dengannya buat kali pertama, dia seorang yang sangat baik, peramah dan gemar memberikan nasihat. Kini, walaupun keupayaannya semakin berkurangan dia tetap memberikan nasihat untuk diperingatkan kepada mereka yang masih sihat. Ada juga dia menyatakan hasrat untuk menulis catatan hariannya dan berkongsi cerita dengan mereka yang sihat untuk dijadikan peringatan. Katanya,

“Sewaktu sihat gunakanlah sebaik-baiknya. Bila dah sakit banyak perkara yang tidak dapat kita buat. Bila sakit, solat pun tak khusyuk sebab banyak perkara yang kita fikir dan bayangkan. Tapi, abang redha.”

Sesekali air matanya mengalir tika berkata-kata. Kesedihan dan kekuatan bercampur baur. Rupa bentuk fizikal menunjukkan yang dia berada di dalam keadaan tidak stabil. Ketahanan semangat dan kesetian isteri menemaninya membuatkan dia terus bertahan. “Rumah sakit” diibaratkan seperi rumah keduanya. Kerisauan anak-anak ditenteramkan dengan kata-kata bahawa dia tidak sakit dan tidak apa-apa.

Pendarahan kerap benar berlaku. Kilang darah sudah tidak berfungsi dengan baik. Tanda-tanda merah di badan menunjukkan sistem darahnya berfungsi dengan lemah. Semua itu tidak pernah melunturkan semangatnya. Dia masih terus bertahan dan berusaha untuk melawan penyakitnya. Kagum benar aku melihat kekuaatannya. Akan kupanjatkan doa pada Allah agar kau cepat sembuh. Kau adalah orang-orang yang Allah pilih untuk mendapat kasih sayang dariNYA. Kau adalah hamba-hambaNYA yang soleh. Moga kau sentiasa sabar dan tenang.


No comments: