Saturday, December 31, 2011

:: Coretan 2011 ::


Mengimbas kembali semua peristiwa sepanjang tahun 2011 yang masih segar dalam ingatan dan ada yang samar-samar berbaki dalam ingatan. Pasti ada yang indah tidak lupa juga yang pahit. Dulu, aku sangat gemar melakar setiap detik peristiwa sepanjang menjalani kehidupan di dalam diary. Tetapi, pada tahun 2011 aku tidak menulisnya lagi di dalam diary. Aku masih menyimpan semua diary tahun-tahun yang lepas untuk aku mengingati kembali detik yang mungkin sudah aku lupakan. Terkadang aku tersenyum sendiri saat mengingati setiap detik itu. Ianya sangat indah.

Permulaan tahun 2011, aku sangat sibuk menjalani tuntutan kerja. Terlalu banyak tanggungjawab yang menuntut perhatian untuk diselesaikan. Masalah datang bertimpa-timpa tanpa henti. Aku berperang dengan tekanan dari keja hinggalah manusia. Aku sangat letih menguruskan semuanya hingga terbawa-bawa dalam kehidupan sendiri. Kehidupanku terganggu bila emosi menguasai diri. Saat itu aku perlukan waktu yang menjadi 'penyejuk hati' untuk aku bicara dalam diri. Hari-hari yang dilalui memerlukan kata-kata semangat dari diri sendiri bahawa apa yang sedang dilalui kini adalah sebahagian dari rencah kehidupan sebagai manusia. Keikhlasan yang datang bersama tanggungjawab mula mengendur. Aku tidak mahu manjadi seorang pekerja yang hilang keikhlasan dalam melaksanakan tugas-tugas ku.

Namun aku juga telah membulatkan tekad pada keputusan yang muktamad memilih untuk beralih dan menamatkan tugas-tugas yang selama ini aku pikul dengan penuh rasa tanggungjawab walau tekanan demi tekanan datang tidak di duga. Saat keputusan itu kubuat, aku cukup tenang dan berserah hanya kepada Allah atas perjalananku seterusnya. Tawakal itu adalah penyerahan terakhirku sebagai hamba yang sangat mengharap pertolongan daripada Tuhannya. Akhirnya aku meninggalkan kenangan yang cukup berharga sepanjang berada di IDOTTV SDN BHD. Aku belajar terlalu banyak perkara. Aku sangat bersyukur atas kurniaan Allah ini. Aku mencari kekuatan dan semangat melalui teman-teman yang setia menjadi peniup aura positif dalam diri. Syukur alhamdulillah, aku dapat melihat semuanya melalui penilaian mata hati. Aku lakarkan senyuman di sebalik ujian yang datang. Terlalu banyak hikmah yang datang bersama ujian ini. Terima kasih buat teman-teman setia dan juga insan istimewa yang bukan saja 'bos' malahan telah ku anggap seperti bapa. Tidak berhenti memberikan semangat dan kata-kata nasihat sebagai pedoman menjalani kehidupan seterusnya.

Bos & 'bapa' yang banyak memberikan nasihat

Sahabat setia yang menjadi sumber kekuatan


Di sebalik ujian yang Allah berikan, lahir satu niat dan nikmat yang besar kurniaan dari Allah swt. Niat yang selama ini aku pendam kemas dalam hati. Niat suci yang satu untuk bertamu dalam 'Mahligai Nan Indah Rabb ku'. Menyaksikan segala keagungan dan kebesaran Tuhanku. Merendahkan diri sebagai hamba pada PenciptaNya. Bersujud dan berdoa sepuasnya memohon segala niat yang terbuku dalam sanubari. Aku menjadi teruja bila niat ini aku sampaikan pada ibuku yang tersayang. Ibu menyambut baik niat itu. Segala persediaan mula dilakukan dari segala segi. Fizikal dan spiritual perlu disiapkan seiring dalam menzahirkan niat suci yang satu ini. Allah telah mempermudahkan setiap urusan dan persediaan untuk aku melangkah ke sana. Tanggal April 2011 menjadi detik yang tidak akan aku lupakan. Memijakkan kaki pada bumi yang penuh rahmat dan berkat ‘Tanah Haram Mekah Al-Mukaramah’. Aku rebah sebagai insan yang tidak berdaya menahan kesedihan tatkala melihat Mahligai Nan Indah-Kaabah. Aku insan yang lemah wahai Tuhan. Ampunilah aku..

Rahmat terbesar dari Allah


Setelah beberapa bulan meninggalkan kenangan yang begitu indah di bumi Mekah, aku kembali menjalani kehidupan di bumi asal MALAYSIA. Sebenarnya aku sedikit risau kerana cabaran yang paling besar kini adalah berada di bumi sendiri berbeza di Mekah walaupun terdapat perbezaan dari pelbagai sudut. Untuk kekal dalam meneruskan istiqomah menjalankan tanggungjawab ibadah kepada Allah itu sungguh berat. Kerna di dalam Al-Quran menyebut

‘Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.’
(Al-Baqarah : 45)

Sungguh berat tanggungjawab sebagai hamba di bumi Allah. Walaupun kita tidak dilantik secara khusus untuk menjadi pemimpin. Tetapi manusia dilahirkan dengan tanggungjawab sebagai khalifah untuk sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan menolak segala kemungkaran. Ujian Allah sentiasa menghiasi kehidupan manusia. Aku tidak terkecuali dalam menerima ujian. Aku berusaha untuk mendapat rezeki tanpa mengenal putus asa. Kerna seburuk-buruk manusia adalah manusia yang berputus asa. Banyak perkara-perkara baru yang aku pelajari dalam kehidupan ini. Melihat dugaan dan ujian bukan dari sudut negatif adalah perjuangan yang sangat hebat. Banyak insan-insan yang membantu aku untuk menjadi muslim yang baik. Sentiasa belajar memperbaiki diri untuk memberikan manfaat pada orang lain juga manfaat untuk diri sendiri.

Penulis ini memberikan impak yang besar dalam diriku. Beliau mengajar aku cara melihat kehidupan. Erti hidup dalam memberi. Hayati penulisannya di www.saifulislam.com

Jujurnya, cara dan kehidupan Wardina kini banyak aku ambil untuk aku contohi. Semoga dia tetap sabar dalam menempuh ujian sebagai 'artis'.

Aku mula mengenalinya melalui movie Ketika Cinta Bertasbih. Dia seorang anak muda yang masih menjaga auratnya walaupun dia seorang artis. Punya kelebihan menulis juga. Aku juga mengagumi dia dengan pembawakan diri yang sederhana.


Sekali lagi aku diuji dengan ujian bersama sahabat yang rapat dengan aku. Aku tidak menyangka di sebalik ‘niat suci’ itu ada insan yang tersinggung. Terdapat salah faham yang timbul menjadikan persahabatan mula renggang. Tersemat dalam hati rasa disisihkan oleh sahabat sendiri. Aku tidak menyangka ‘niat suci’ itu menjadi penyebab permasalahan. Aku sentiasa memikirkan cara terbaik untuk penyelesaian masalah ini dan mengetahui punca sebenar serta apa yang perlu dilakukan seterusnya. Mulanya aku buntu tetapi Allah telah menunjukkan jalan yang terbaik buat aku. Aku disedarkan melalui sebuah buka yang meluruhkan setiap ego di dalam diri. Melalui sepotong ayat Al-Quran aku sebak.

Maksudnya; ‘Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.’
(An-Nur : 22)

Maksudnya; ‘Dan tidaklah sama (kesan dan hukumNya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.’
(Al-Fushilat : 34)

Wahai sahabat, sesungguhnya aku ini adalah insan biasa yang dijadikan Allah dengan kelemahan. Aku tidak mahu persahabatan ini terputus walau dugaan datang lebih hebat. Sama-samalah kita berlapang dada menerima ini sebagai dugaan dari Allah.

Sahabat karib yang setia

Selamanya di hati


Penghujung tahun 2011 mungkin ujiannya sedikit berbeza. Aku kini tersenyum tatkala ujian ini datang. Walau ianya sedikit memeranjatkan namun aku memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana insan karib yang pernah berkongsi banyak cerita dan masalah bersama, telah bertemu dengan jodoh yang baik dari Allah. Insan ini pernah menjadi sahabat istimewa tetapi ketetapan Allah itu adalah yang terbaik buat kita sebagai hambaNya. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia dalam dalam kehidupannya. Mudah-mudahan Allah kurniakan dia kebahagiaan yang hakiki.

‘Hidup ini satu perjuangan. Marilah berjuang untuk memperbaiki diri. Berjuang untuk mencari ilmu dan menghiaskan diri dengan akhlak dan adab. Supaya InsyaAllah kita beroleh Taqwa dan mendapat ketenangan hakiki di dalam jiwa. Tidak cukup dengan hanya menjadi seorang Muslim. Kita seharusnya berjuang sedaya upaya untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati’ – Wardina Safiyyah

Semoga dengan kehadiran tahun yang baru dapat kita mempertingkatkan AMAL dan TAQWA kepada Allah swt. Kenalilah dan cintailah Allah sedalam-dalamnya. Moga kita beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. InsyaAllah…

Terima Kasih Ya Allah...

Thursday, December 29, 2011

:: Menyulusuri Rasa ::

Ku susuri malam ini
Yang tidak berbintang sunyi sepi
Juga rembulan dah menghilang
Dalam kelam ku sendiri

Ku mencari hembus bayu
Yang selalu berbisik madah rindu
Kini membisu dalam sayu
Tidak ku temu suaramu

Di jalanan yang berliku
Di saat ku perlukanmu
Tertutup jua segalanya terhadapmu
Di sini ku tersedu-sedu

Setelah cinta pergi
Ku mengusung duka ini diiringi
Kisah janji dimungkiri lagi

...............................................................................................

Malam indah ditemani bulan
Langit terang bersama rembulan
Suasana dingin mengiringi rasa
Bertapa cantiknya malam ciptaan Tuhan

Hati berbisik pada kata yang tak terucap
Menyimpan duka & lara
Menyulusuri setiap rasa
Jiwa yang penuh gelora

Teguh hati memujuk rasa
Pada takdir dan ketentuan Sang Pencipta



*Melodi mengiringi rasa*

Thursday, December 1, 2011

:: Penghargaan buat BicaraSamaAwan ::

Sewaktu mula menulis di blog dulu aku banyak menulis tentang RASA. Setiap apa jua yang menjentik hati aku lukiskan di atas blog ini. Sepanjang menulis sebenarnya, aku sedang berkongsi RASA dengan seorang teman. Teman maya kata orang.

Tulisannya begitu sebati dalam diri. Serasi dalam berkongsi.Tanpa dirancang kami mula bertukar-tukar rasa sehinggalah terciptanya pertemuan. Pertemuan demi pertemuan kami menjadi teman rapat. Berkongsi banyak cerita dunia (mengalahkan pemimpin negara pulak.. hihi..). Dia hebat dikurniakan banyak kelebihan walaupun orangnya bersifat rendah diri. Sentiasa menganggap dirinya SENDIRI.

Tapi kini tidak lagi, dia punya teman maya yang ramai untuk sentiasa berkongsi rasa dan cerita. Kini, setelah melalui banyak cabaran dan suka duka sebagai manusia dia kini mampu tersenyum tiap kali menjengah ke blog sendiri dan membaca setiap komen dari teman-teman yang menyukai tulisannya.

Syabas sahabat! Kau sebenarnya tidak pernah sendiri dalam menjalani hidup ini. Allah telah menghantar orang-orang yang baik untuk kamu. Semoga kau terus menulis dan menghasilkan buku-buku yang baik.

Nantikan...

Wednesday, November 30, 2011

:: Bersabarlah Ibu ::

Tidak ada yang lebih berharga selain dari perhatian dan kasih sayang suami buat isterinya. Walaupun ujian datang sebesar 'bah' di lautan. Namun Sang Pencipta yang menurunkan 'bah' itu lebih mengetahui setiap yang terbaik buat hambanya.

Ibu,
Hentikan tangisanmu
Kumpulkan kekuatan dan semangat agar bisa kau bertahan
Walaupun dugaan ini telah bertahun-tahun kau tanggungi
Aku yakin Allah telah sediakan tempat yang terindah buatmu di sisi Rabmu

Ibu,
Kau insan cekal
Kau bidadari cantik diturunkan Allah
Jangan kau sesali nasibmu
Jangan kau tangisi perjalanan hidupmu yang penuh liku
Kerna kita tidak mengetahui apa yang Allah ketahui
Rencana Allah itu yang terbaik untuk kita sebagai hambanya

Ibu,
Kami anak-anakmu akan sentiasa mempertahankanmu, melindungimu, menyayangimu
Kau adalah permata berkilau tiada bandingan
Airmatamu akan kami ganti dengan hilai tawa
Walau hati kami menangis melihat deritamu
Kami tetap bersamamu
Juga ayah

:: Mengertilah Ayah ::

Setiap ujian dan dugaan Allah pada hambanya pasti datang bersama HIKMAH.
Berbicara dalam hati. Merenung segala hikmah yang hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Buat setiap Ayah yang mensia-siakan isterinya dan Ibu yang tetap setia bersama suaminya:

Ayah,
Melihat dan merenung wajahmu dimamah usia
Aku sebak
Melihat kepayahan kau membesarkan kami dalam serba sederhana
Aku bangga
Melihat kau mengharungi liku-liku hidup dalam mencari rezeki
Aku menangis

Tuamu kini terus membuatkan aku menangis bila melihat seraut wajahmu
Walau di waktu mudamu kau sering melukakan hati ibu
Aku TETAP menyayangimu setulus hatiku
Walau ibu sering menjadi mangsa kemarahanmu
Aku TETAP menyanjungimu sebagai BAPA

Ayah,
Kau beruntung kerana punya isteri yang hebat
Dia bidadari syurga yang Allah pinjamkan kepadamu sebagai pelengkap hidupmu
Tabah dan sabarnya ibu bertahan dalam rumahtanggamu
Seharusnya kau menghargainya lebih dari sejuta wanita yang datang kepadamu
Mengapa kau 'tegar' melukakan hati ibu?
Mengapa kau harus berpaling pada yang belum dapat menjanjikan kebahagian yang abadi?

Saat ini,
Aku keliru dalam menilai dugaan ini
Keliru memikirkan jalan keluar pada kemelut yang hebat ini
Saat ini,
Aku hanya memikirkan ibu
Dia masih terus sabar dan tabah seperti dulu
Walau fizikalnya makin lemah
Namun jiwanya tegar
Walau ibu tidak merasa bahagia
Namun dia tetap percaya ALLAH sentiasa bersamanya dalam doa-doanya

Mengertilah Ayah,
Tidak akan dapat kau cari bidadari seperti ibu
Pendampingmu di SYURGA

Saturday, October 29, 2011

:: Tergelincir Kepatuhan ::

Sedang jemari aku mengetuk papan kekunci ini, sipi-sipi cahaya terbitan mentari subuh sedang mula menyelinap masuk menerusi ruang-ruang antara langsir yang mengatup tingkap di sebelah kiri pandangan mata aku.

Ah, matahari terbit lagi. Fikirku.

Fikirku lagi, apakah syaitan tidak pernah menghasut matahari supaya tidak terbit untuk sehari?

Tetapi, matahari belum pernah lagi ingkar suruhan Tuhan.

Aku? Manusia. Yang kadangnya tergelincir kepatuhanku. Kita juga. Tetapi Tuhan masih sayangkan kita semua sama seperti DIA sayangkan matahari.

AR-RAHIM..


Tulisan ini aku baca waktu menjengah ke kedai buku MPH di The Curve. Seperti kebiasaan, kedai buku tempat paling aman untuk aku. Membaca dan mencari buku-buku yang menarik untuk aku berilham dan belajar tentang benda baru. Tanpa aku ketahui rupanya pelakon yang memegang watak 'Daim' dalam drama Juvana ini mempunyai bakat menulis yang luar biasa.

Sempat aku menghabiskan bacaan. Membaca tulisan penulis yang punya bakat besar ini. Bermula menulis di blog dan kemudian menghasilkan buku bertajuk "Bogel Menuju Tuhan".

Friday, October 7, 2011

:: Perkongsian Ilmu Tentang Muzik & Dakwah ::



Semoga kita mengambil manfat dari perbincangan yang menarik ini.

"Yang baik itu dijadikan ikutan dan yang buruk itu minta dijauhkan."

Tuesday, September 27, 2011

:: Ole Ole dari Indonesia ::



Terima kasih buat teman yang menghadiahkan aku ole-ole ini dari seberang. Satu bahan bacaan baru buat aku. Juga dari penulis yang baru aku kenali dari buku 'RAYUAN GIBRAN'. Ia sesuatu yang menarik bila dapat menyulusuri tulisan-tulisannya yang hebat.

Apakah Tuhan meniupkan nafas kehidupan pada kita untuk menempatkannya di kaki kematian? Apakah Dia memberi kita kebebasan untuk menjadikanya bayangan dari perbudakan? Dia memadamkan kobaran api jiwanya dengan tangannya sendiri adalah orang kafir di mata syurga, kerana syurga yang menyaluti api yang membara dalam jiwa kita. Dia yang tidak memberontak melawan penindasan, sebenarnya sedang melakukan ketidakadilan pada dirinya sendiri.

Tuhan telah menciptakan banyak pintu yang terbuka menuju kebenaran, yang Dia buka bagi semua yang mengetuknya dengan tangan keyakinan.


Aku masih menanti untuk mendapatkan buku ini. Tapi masih belum ada di Malaysia. Mugkin satu hari nanti aku pasti akan mendapatkannya. InsyaAllah..


Sunday, September 18, 2011

:: Ku temui cinta dalam Ketika Cinta Bertasbih-Meraih Ridho Ilahi ::




Perjalanan dakwah itu bukan mudah. Perlukan banyak kesabaran dan pengorbanan. Bukan hanya dari satu pihak tetapi pengorbanan dari keluarga yang punya semangat dakwah yang tinggi. Dalam kisah Ketika Cinta Bertasbih-Meraih Ridho Ilahi ini cabaran yang terbesar adalah ujian sakit yang Allah berikan kepada hambaNya.

Aku masih ingat sat artikel yang aku pernah baca di papan bacaan sewaktu aku menuntut di kolej. 'Sakit itu satu keperluan'. Tulisan dari editor persatuan Usrah. Sebenarnya sakit itu adalah nikmat dari Allah. Ianya penghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ujian sakit itu tanda Sang Pencipta sangat menyayangi kita sebagai hambaNya. Ridho dan berserah diri pada Allah adalah jalan yang terbaik.

Melalui cerita ini aku belajar banyak perkara tentang kehidupan dan ketakwaan. Doa sumber kekuatan. Mintalah pada yang Maha Kuasa, pasti doa itu Allah kabulkan.

Wednesday, September 7, 2011

:: Ketika Cinta Bertasbih ::

Sebenarnya aku tidak yakin akan adanya cerita yang dapat dilahirkan berteraskan Islam. Menjaga etika dan adab sebagai seorang muslim. Menjaga batas-batas sesama Islam walaupun mungkin kehendak cerita menuntut sebaliknya. Kelahiran cerita yang berbentuk keislaman begitu banyak seiring kemajuan pesat kemodenan hidup manusia.

Aku seorang penonton yang gemar menonton cerita yang bercorak keislaman. Bukan hanya filem atau drama, malah aku lebih berminat untuk membaca buku-buku yang banyak mendidk jiwa menjadi yang lebih baik. Bukan hanya berteraskan cinta. Walaupun kebanyakkan penulis novel-novel lebih menitikberatkan CINTA berbanding yang lain. Mungkin bagi mereka cinta itu tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia.

Bagi mereka yang merasa kenikmatan, cinta yang sebenar itu bukan datangnya sesama manusia semata. Ada cinta yang lebih indah dan lebih berharga.

Cinta pada dakwah.

Bagaimanakah cinta itu begitu kuat melebihi segalanya? Bagaimanakah cinta yang berteraskan takwa dan dakwah boleh begitu kukuh dan tertanam dalam hati insan yang benar-benar hebat?

Aku sering bertanya pada diriku sendiri. Bersedia dan mampukah aku menjadi seperti mereka yang cintakan dakwah. Cintakan agama!

Aku gembira bila keyakinan tentang cerita yang berteraskan Islam itu sudah aku ketemukan. Aku benar-benar teruja meniti setiap jalan ceritanya. Al-Quran dan Sunnah Nabi dijadikan asas. Memupuk dan mendidik insan melihat setiap yang direncanakan Allah itu adalah yang terbaik. Walaupun perjalanan kehidupan itu tidak semua indah dan baik, namun melihat sesuatu itu dari sudut yang positif dapat melahirkan kesudahan atas rasa redha. Kesungguhan dan kesabaran dalam mengingatikan tugas sebagai khalifah Allah yang tidak pernah terlepas dari dugaan mahupun cubaan. Pencarian jodoh dan penerimaan tentang jodoh yang dipaparkan hanya berpandukan Islam. Semuanya menuntut usaha dan kesabaran yang tinggi.

Doa adalah sumber kekuatan yang abadi.

Menampilkan pelakon-pelakon hebat berperanan sebagai penggerak utama cerita ini. Ustaz Abdullah Khairul Azzam dan Ustazah Ana Altaufunnisa. Aku bangga masih ada lagi pelakon-pelakon yang menjaga maruah dan keperibadian sebagai seorang Islam. Pastinya disebalik kelahiran cerita yang berkualiti ini ada pendokong yang hebat. Beliau adalah sustradara Chaerul Umam dan juga merupakan karangan penulis terhebat indonesia Habiburrahman El Shirazy.

Monday, August 29, 2011

:: Harga sebuah Aidilfitri ::

Kehidupan bermakna bagi seorang muslim adalah menjadi seorang muslim yang sebenar. Hidup penuh harga diri dan bangga atas Islam yang menjadi teras dalam kehidupan.

Dalam menjalani bulan ramadhan yang penuh barakah sudah pasti ianya saat yang paling ditunggu-tunggu. Bukan hanya pahala yang dikurniakan berlipat ganda, malah Ramadhan adalah proses mengawal diri dalam mengendalikan kehendak dan nafsu. Berjayalah seseorang itu andai mampu mengawal diri dan berkata TIDAK pada kehendak dan nafsu yang mendesak.

Ramadhan seharusnya dapat mendidik jiwa dan hati. Amalan yang dilakukan sepanjang ramadhan menjadikan kita sebagai muslim yang berdisiplin dalam beribadah. Penghayatan dan pengisiannya mampu membaja rasa insaf dan tawwaduk kita pada Allah swt. Solat sunat tarawih, membaca Al-Quran, berzikir dan menghadiri majlis ilmu merupakan pengisian yang terbaik.

Allah menjanjikan syurga dan mengampun dosa-dosa hambanya yang sentiasa meminta. Sentiasalah berdoa untuk menjadi Muslim yang terbaik. Bersyukur atas nikmat IMAN dan ISLAM yang Allah kurniakan pada kita. Itulah harga sebuah Aidilfitri buat seorang muslim yang menghargai nikmat yang tidak ternilai harganya.

IMAN dan ISLAM.

Wednesday, August 24, 2011

:: Berlalu sebuah rahmat ::

Hanya beberapa waktu ia pasti pergi
Membawa rahmat yang tidak terhitung
Meninggalkan makna yang berharga ataupun sekadar berlalu tanpa erti
Dapatkah kita pasti ia kembali?

Terasa benar di hati
Akan kesedihan ianya pergi
Bergenang air mata mengingatkan pada dosa yang tidak terampun
Mengalir air mata itu
Menyesali setiap dosa dan kesalahan pada sang pencipta
Yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani

Sejujurnya hati ini gelisah
Namun tidak bisa diluahkan
Luruh seluruh rasa
Merendah sebagai hamba yang tunduk
Pada sang Pencipta Agong yang menciptakan

Wednesday, August 17, 2011

:: Transformasi Ramadan ::

Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa membaca satu huruf dari Al-Quran, maka dia memperoleh satu kebaikan, dan satu kebaikan berlipat sepuluh kali. Aku tidak katakan alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf ." (Riwayat Turmizi)

Bukan sahaja begitu, malah lailatulqadar juga harus dilihat sebagai kemuncaknya.

"Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan." (Al-Qadr 97: 3)


Tiga puluh hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru, Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar lailatulqadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam lailatulqadar.

Kesungguhan itulah pelengkap proses TAKWA.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.

Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi saw memberi ingatan kepada kita agar mengejarkan solat dengan " SOLAT PERPISAHAN". Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat...

Ketidakpastian ynag mendesak kesungguhan dan juga perubahan.

Apabila manusia berdoa minta dipanjangkan umur, ada perbincangan di kalangan ulama tentang keharusan dan faedah berdoa sedemikian rupa. Kita sering menyangkan bahawa panjang umur itu ialah pada bertambahnya bilangan hari, bulan dan tahun. Tetapi di sisi Allah, cara DIA memanjangkan dan memendekkan umur kita jauh lebih baik unik dan tersirat.

Allah memanjangkan umur kita dengan meningkatkan kualiti hidup dan usia pada perkara yang bernilai lagi berfaedah. Umur manusia dipendekkanNya apabila manusia hidup tanpa makna, tanpa jasa, tanpa nama dan matinya terus dilupakan.

Umat akhir zaman diuji dengan perasaan bahawa 24 jan sehari yang Allah sediakan untuknya itu terlalu pantas berlalu. Sedangkan dia lupa bahawa jumlah yang sama telah Allah berikan kepada generasi Islam yang terdahulu seperti Imam Nawawi. Namun, kepantasan masa berlalu itu lebih berpunca daripada kita membanyakkan perkara yang tidak bernilai yang mengisi kehidupan kita, lantas kita gagal mengesan bekas dan kesan masa itu apabila menoleh kebelakang.

"Eh, lajunya masa berlalu," kata kita setibanya Ramadan.

Bukanlah masa itu yang pantas berlari, namun kita yang perlahan mengejar dan memanfaatkannya. Semoga Ramadan kita lebih bermakna daripada yang sebelumnya, kerana ia mungkin yang terakhir untuk kita. Amin.

Saya kongsikan mutiara-mutiara kata ini melalui buku yang hebat ini..



Wednesday, July 27, 2011

:: Apa itu kebebasan? ::

Bebas itu adalah kata yang mudah diucapkan
Namun sulit untuk dipraktikkan
Maka pada dia yang terbangun di pagi hari
Dia selalu bertanya
Apa itu bebas?
Mungkin kebebasan itu seperti udara yang dihirupnya
Dan matahari yang menerpanya setiap pagi
Membuatnya merasa seperti manusia
Atau kebebasan itu ertinya cinta?
Sayangnya senja itu datang lebih awal dari hari-harinya
Dan hingga dia menutup matanya kembali
Dia belum menemukan pertanyaan yang memulainya pagi tadi
Apa itu bebas?
(Petikan cerita: Perempuan Berkalung Sorban)


Namun bagiku bebas itu apa?
Bukan rasa nyaman
Namun bukan juga rasa takut
Bebas itu satu perasaan yang menjadi raja kepada kekuatan
Bukan hanya bebas perasaan, hati atau jiwa
Paling penting bebas minda dari takhlukan diri sendiri mahupun orang lain

Menulis bisa buat aku bebas
Tidak menipu
Tulisan yang bebas datang dari dalam hati
Kerana aku tahu tulisanku tidak pernah menipu

Monday, July 25, 2011

:: Nurul Izzah's singing ::



She really can sing. She very talented. But need more practice in played guitar.. :)

Sunday, July 24, 2011

:: Sendiri itu baik ::

Hidup kosong? Hidup tak punya apa?

Adakah kerana kita sendiri maka semua perlu kosong?
Sebenarnya itu bukan penamat bagi sebuah kehidupan. Mungkin kita terlalu banyak memberi tanpa dapat menerima sebuah kenyataan. Walau ia pahit, walau ia sukar tapi, ia bukan kesudahan kepada sebuah kehidupan.

Wahai teman,
Sungguhnya ada yang bisa buat kita tenang menghadapi kenyataan. Allah, Allah, Allah..!

Allah sayangkan kita. Allah itu Maha Kaya. Walau banyak mana ujian yang DIA berikan, rahmat Allah itu terlalu besar.

Jangan kita tutup hati kita hanya kerana kita dilukakan. Terimalah ia sebagai sebahagian pelengkap dalam kehidupan.
Redhalah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Monday, June 20, 2011

:: Super Idol..!! Her Political View ::




You are such a great IDOL I admired..

Friday, May 27, 2011

:: Terima kasih Tuhan ::


Jika masa tidak berakhir, tidak ada kehidupan yang abadi sebab keabadian datang dari akhir masa. Apabila masa tidak berakhir, tidak ada ciptaan dan tidak ada kehidupan. Masa adalah tanda. Tanda adanya Yang Maha Kuasa, Maha Segala, Maha Pencipta. Dari Tuhan, benang masa muncul dan kepada Tuhan benang itu kembali.

Masa tidak oleh diukur. Apa ertinya umur bagi masa? Setiap yang dicipta mempunyai batas, tetapi batas itu bukanlah masa. Detik, minit dan jam adalah batas yang tidak dapat membatasi masa. Demikianlah pula dengan hari, bulan dan tahun. Setiap tahun yang berbilang, berbilang pula umur yang menyertainya. Unmur kian panjang tetapi hakikatnya kian renta. Apabila renta telah tiba, tidak penting lagi sebab-sebab terjadinya kematian sebagai akhir bagi usia.

Hanya Allah sahaja yang kekal. Yang abadi. Manusia datang daripadaNya dan kepadaNya manusia kembali.

Terima kasih ya Allah atas nikmat dan kesempatan yang Kau kurniakan buatku
Terima kasih ya Allah atas nikmat Islam dan Iman
Terima kasih ya Allah atas umur dan kesihatan yang baik Kau anugerahkan
Terima kasih ya Allah juga atas insan-insan yang baik yang sentiasa bersamaku

KasihMu tidak ternilai, tidak dapat aku balas
Hanya dengan rasa syukurku
Akan aku titipkan buatMu
Dalam doaku..

Tuesday, May 24, 2011

:: Doa buatMu Tuhan ::


Meniti doaku yang terakhir
Di bumi Tuhan
Dan kota suci Rasulullah saw
Tersimpan seribu kenangan dan pengalaman
Munajat serta doa dalam setiap detik waktu

Aku masih terus berharap
Pada pengampunan dan kasih sayang-Nya

Dengarlah rintahan hatiku Tuhan
Kurniakanlah aku syafaat ya Rasulullah
Agar siksa kuburku ringan
Agar mudah sakaratul mautku
Agar aku dapat merasai syurga Jannatunnaim-Mu
Agar aku terpelihara dari fitnah dunia dan Dajjal

Amin ya rabbal A'lamin....

:: Jasadmu terpelihara di Bumi Madinah Al-Munawarah ::


Berat hatiku akan meninggalkan kota suci ini
Makkah Al-Mukkarramah 
Tanah haram-Mu ya Allah juga
Madinah Al-Munawarah 
Kota suci RasulMu

Kecewa aku
Belum puas mengabdikan diri di tanah suci Rasulullah saw ini
Kota Madinah yang begitu aman dan tenang
Bersemadikan jasad seorang nabi 
Muhammad ya Rasulullah saw

Mari kita sanjung tinggi
Kepangkuan alam
Memohon syafaat Rasulullah saw
Agar tergolong antara umatnya yang soleh dan solehah

Sesungguhnya
Allah lebih menyayangi Rasul-Nya melebihi segalanya
Kasih sayang itu tidak mungkin dapat dihitung

Sucinya kota Madinah Al-Munawarah ini
Sesucinya cinta dan kasih Rasulullah saw

:: Tetamu dalam Mahligai Nan Indah - Part 3 ::

Melalui hari-hari bahagia 
Di mahligai indah ini
Duniaku tinggalkan
Hiruk pikok yang menyesakkan
Kesibukkan mengejar kepuasan dan kebendaan
Yang tidak pernah padam

Sejuk tapak kaki ini memijak tanah itu
Tenang aku di dalamnya
Merungkai seribu rasa

Menghampiri hari-hari terakhir
Meninggalkan bumi suci ini
Sebak rasa di dada
Air mata deras mengalir
Melihat satu-satunya tanda kebesaran-Nya
Aku pasti datang lagi
Memuji dan mengagongkan-Mu
Ya Rabbi...

Friday, May 20, 2011

:: Pertemuan Cinta Suci ::

Menaiki anak-anak tangga di Jabal Rahmah
Satu persatu ianya ku jejak
Terasa debaran di dada
Mendengarkan kisah di sebalik namanya
Tempat pertemuan dua insan yang pertama dijadikan
Adam dan Hawa
Diturunkan di dunia selepas Allah murka atas perbuatan keduanya

Pertemuan pertama itu di Jabal Rahmah
Tempat bertautnya kasih dan sayang
Saat aku berada di situ
Hati berbunga juga gelisah melanda
Panjatkan doa untuk bertemu jodoh
Memohon yang terbaik bagi kehidupan dunia dan akhirat

Sampaiku di puncak bukit
Tangan menggigil, mata tertacap pada batu yang berdiri dihadapan
Aku terpaku
Doaku susun, ayatku atur
Bicara cintaku pada Sang Pencipta

Kudus doa mengharap
Hanya Engkau menjadi pemeliharaku
Aku pasrah dengan takdirMU

Sunday, May 15, 2011

:: KAU yang sempurna ::


Seiring waktu berlalu
Tangis tawa di nafasku
Hitam putih di hidupku
Jalani takdirku

Tiada satu tersembunyi
Tiada satu yang terlupa
Segala apa yang terjadi
Engkaulah saksiNya

Kau yang Maha Mendengar
Kau yang Maha Melihat
Kau yang Maha Pemaaf
Padamu hati bertaubat

Kau yang Maha Pengasih
Kau yang Maha Penyayang
Kau yang Maha Pelindung
Padamu semua bergantung

Yang dicintakan pergi
Yang didambakan hilang
Hidupkan terus berjalan
Meski penuh dengan tangisan

Andai bisaku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisaku kembali
Hapus semua pedih

Andai mungkin aku bisa
Kembali ulang segalanya
Tapi hidup takkan bisa
Meski berair mata

:: Tetamu dalam Mahligai Nan Indah - Part 2 ::

Bumi haram ini harum bersama doa
Rahmat berjujuran melata
Setiap munajat hanya pada RabbNya

Tangan yang berdoa diselangi air mata
Dada bergetar bersama selawat
Menyaksikan keagonganNya di depan mata
Hati mengucapkan syukur

Bumi haram ini menyatukan hati-hati manusia
Takbir dan sujud membawa mereka bersama
Pada paksi....

:: Tetamu dalam Mahligai Nan Indah - Part 1 ::

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Kalimat itu bergema
Menyentap hati di hening subuh

Aku kaku
Memuji Sang Pencipta Tuhan Maha Agong
Sepi suasana ibarat ianya tidak berpenghuni
Aku istighfar mohon ampun
Menagih kasih dan pengampunan
Pada dosa yang menggunung
Belas kasihan yang selama ini aku dambakan

Alunan dan bisikan Al-Quran dari hamba yang hina
Tertitis airmata tidak tertahan menanggung rasa

Syukurku panjatkan
KAU tunaikan hajatku
Menjadi tetamu di rumahmu
MAKKAH AL MUKKARRAMAH..