Sunday, May 31, 2009

:: Aku manusia biasa ::


Saat dan waktu semakin pantas berlalu. Debaran di dada makin memuncak. Segalanya bercampur baur. Sukar untuk diungkapkan bagaimanakah rasanya saat dan tika ini.

Pertemuan diatur. Muka bertemu muka. Bagaimanakah bicara akan dimulakan? Adakah kesalahan akan ditujukan pada satu sama lain. Atau adakah pengertian yang dimohon agar segalanya berakhir.


Penyelesaian dan pendamaian yang dicari. Kebahagian yang selalu diminta. Ketenangan yang sentiasa dipohon.
Aku manusia biasa. Kesempurnaan bukan matlamat utama. Cukuplah sekadar pengertian dan bersedia menerima segala kekurangan.

Thursday, May 7, 2009

:: Membina Sinar Dalam Hati ::


Kita mudah tersalah tafsir. Kebaikan orang kadang-kadang memang sebenar-sebenarnya ikhlas, tetapi kita tersilap tafsir dengan memberikan huraian yang salah. Sekadar untuk kegunaan diri kita mungkin tidak mengapa, masalahnya kita merealitikannya untuk diterima pula oleh orang lain.

Kita tidak akan tahu apakah seseorang itu ikhlas sebab kejujuran milik peribadi, hanya di ketahui oleh orang punya diri. Kita ikhlas tetapi tiada siapa yang tahu sejauh mana benarnya ikhlas kita. Orang lain juga jujur tetapi kita tidak akan tahu sejauh mana kejujurannya.

Hidup memang macam tu. Penuh teka-teki, penuh prasangka, penuh andaian, penuh dengan pelbagai perkara yang kita tidak tahu dan tidak akan tahu. Di sini ALLAH menjadi sandaran. Dengan adanya ALLAH dalam semua keadaan, hasilnya berbeza. Persoalan dunia akan selesai dengan sendirinya oleh hati yang berpaut pada agama. Sesiapa pun dia, siapa pun kita, keikhlasan antara kita adalah mesti dan perlu ada.

Dipetik dari buku motivasi: Membina Jiwa Serasi (Dr. HM Tuah Iskandar)


Manusia terlalu mudah dan cepat menilai manusia lain tanpa mengenalinya. Penilaian yang salah ditambah pula dengan tuduhan dan tomahan amat menyakitkan. Penilaian itu tidak seharusnya dibuat dari satu sudut yang singkat dan cetek. Kenali, perhalusi dan dekati akhirnya memberikan penilaian yang tepat. Sesungguhnya penilaian ALLAH itu adalah lebih baik dari penilaian manusia.

:: Khabar Gembira Buat Sang Derita ::


Wahai orang yang dirundung derita
Sesungguhnya derita itu ringan
Bergembiralah dengan kebaikan
Kerana keringanan datang dari Allah

Putus asa kadang memutuskan harapan
Janganlah sekali-kali berputus asa
Kerana kebahagian datang dari Allah
Allah menjamin setelah kesukaran
Pasti ada kemudahan

Janganlah sekali-kali risau
Kerana Tuhan pencipta itu Allah
Apabila engkau mendapat cubaan
Maka percayalah Allah dan relakanlah

Yang memberi cubaan itu Allah
Engkau tiada siapapun selain Allah
Maka cukuplah bagimu
Dalam segala hal itu Allah

:: Syukur Alhamdulillah ::


Syukur pada Allah. Peperiksaan telah berakhir beberapa hari yang lepas. Segala pergolakkan yang membelenggu jiwa juga sudah reda. Sampai bila? Semua itu masih tidak dapat aku pastikan kerana esok adalah hari yang belum pasti. Adakah esok hari akan datang lagi? Itu juga belum pasti. Walau pergolakkan itu datang bagai “bah” yang besar. Tenang dan sabar itulah terbaik. Biarlah ianya berakhir dengan segala kebaikan dan kemudahan. InsyaAllah.

Mungkin kerana terbatasnya waktu, membuatkan aku tidak dapat menulis dan mencoretkan sesuatu di laman blog ini. Dengan jadual kelas yang padat dan tanggungjawab kerja yang ada, masa makin singkat untukku. Di susuli dengan majlis perkahwinan teman karibku yang kini sudah bergelar isteri pada suaminya. Syukur, alhamdulillah kebahagian itu akhirnya kau rasai berkat kesabaran dan ketabahanmu. Saat-saat bahagia itu tidak dapat dilupakannya. Dan kini cuma tinggal kami berdua saja yang masih ttuuuutttt***. :) Mungkin jodoh belum sampai kata orang. Usah di risaukan soal jodoh, pasti suatu hari nanti ia pasti akan datang.

Friday, April 3, 2009

:: Anda pikirlah sendiri ::


Tersenyum bila membaca artikel di laman blog saudara Faizal Tehrani pagi ini. Menariknya ialah gabungan medley lagu-lagu Siti nurhaliza yang diubah suai. Secara peribadinya Siti Nurhaliza terlalu mengagumi Tok Guru nik Aziz. Menyimpan hasrat untuk bersua muka dengannya menjadi pertemuan bermakna buat Siti.

Di akhir artikelnya berbunyi:

Akhir sekali, Mek Jah tahu persembahan ini tidaklah seseksi persembahan kebudayaan masyarakat Cina di majlis makan malam Kampung Baru Kuala Sepetang sebab Mek Jah dah naik haji dan tak mungkin menyanyi lagu rancak berseluar pendek sambil bersinglet biru. Mek Jah hanya mampu mendendangkan medley lagu balada sopan sahaja. Harap semua hadirin di pesta
fun-fair ini terhibur. Maka ingat, undilah persembahan Mek Jah tadi, satu transformasi."


Anda pikirlah sendiri.

Wednesday, March 25, 2009

:: Rezeki dari Allah ::


Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar bakal menimang cahaya mata kedua pada awal Julai nanti. Nurul Izzah melahirkan rasa terkejut dan gembira sambil memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

“Terkejut sebab saya memang tak jangka. Tanggungjawab sekarang berat dan pada saya, ia adalah satu anugerah daripada Allah yang memberi banyak hikmah dan keberkatan dalam usaha saya menggalas tanggungjawab baru sebagai Ahli Parlimen.

“Doktor suruh ‘slow down’ akhir Jun nanti kerana tarikh dijangka bersalin adalah awal Julai. Saya akan mengambil cuti rehat tiga bulan."

Moga kehadiran cahaya mata baru ini memberikan lebih kekuatan dan kegembiraan buat beliau dan keluarga. Semoga semangat perjuangan dapat diteruskan dalam meniti cabaran yang tidak terduga. InsyaAllah.



Friday, March 20, 2009

:: Kekal selamanya ::


Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia

sebab akhirat itu lebih utama

dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya..

:: Yakin dan Percaya ::


Apabila tiada siapa pun boleh diajak bicara

atau tiada sesiapa pun boleh dirujuk untuk

membina keputusan

Allah dan buku adalah jawapannya..

:: Tenang ::


Hari ini kita tiada masa lagi untuk membuang-buang
waktu berdepan dengan kekalutan manusia
sebab kekalutan hidup sudah cukup banyak

Tenang, lunak dan sabar adalah
benteng pada segalanya..

Thursday, February 19, 2009

:: Mata hati ::


Ku tanya hati
Ku tepuk dada sendiri
Manakah hala perjalananku ini
Terasa sangsi masih aku belum mengerti
Adakah aku dilanda laluan pasti

Bertanyaku pada bayu yang menumpang jalan
Apakah berita yang suci dari sempadan
Berikan petunjuk hidayah dan pesanan
Bawakan doaku terus ke takhta pengakuan

Berbalas pandangan mataku dengan sang bulan
Bagaikan bicara mengharapkan pengertian
Moga disusun bintang yang berselerakan
Menjadi landasan laluan perjalanan

Ku tanya hati
Apakah bisa aku dikhianati
Dengan kata hati yang tidak pasti
Atau akukah yang tidak mengerti
Betapa berharganya hati yang suci


Monday, February 9, 2009

:: Bicara tentang hati ::


Ku merenung bulan
Tatkala malam melabuh
Ku ingin berbicara
Bicara tentang hati

Hati rindu
Hati resah
Hati sedih
Hati pilu

Sering hati berbisik
Minta pengertian
Namun hanya tinggal
Soalan tanpa jawapan

Sampai bila
Hati terus bertanya
Menagih sesuatu yang tidak kunjung pasti
Mampukah hati untuk bertahan

:: Kisah Dua Jiwa ::


“Kisah dua jiwa

Di kemuncak yang teragung

Cinta dan setia

Pengorbanan yang tak ternilai”


Uniknya kisah percintaan dua insan. Di kisahkan melalui musical yang sangat mengagumkan. Tayang untuk musim ke-3 membangkitkan keterujaan untuk menyaksikannya buat kali kedua. Sehebat penceritaan yang di dengar pada zaman dahulu tentang kepahlawanan Laksamana Hang Tuah. Begitulah juga ketrampilan Hang Tuah di samping kehebatan tunggak u
tama Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah iaitu Puteri Gunung Ledangnya mencuri hati penonton. Teater musical yang cukup hebat dan patut diberi pengiktirafan dan penghargaan.
Syabas buat PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL..




Wednesday, February 4, 2009

:: Mengapa Yahudi Bijak? ::


Kiriman email dari seorang sahabat menarik minat ku untuk membaca isi email tersebut. Mungkin sudah ramai yang menerima dan membaca tentangnya.
"Mengapa Yahudi Bijak?"
Kajian yang dibuat oleh Dr. Stephen Carr Leon selama 8 tahun mengenai cara pemakanan dan kecerdikan orang-orang yahudi dalam pelbagai bidang berbanding orang Islam. Sebenarnya di dalam Al-Quran sendiri telah tertulis bahawa kejayaan orang-orang yahudi akan berlaku selama beratus tahun sebelum umat Islam bangkit semula menjadi umat yang hebat. Kejatuhan empayer Islam selepas empat khalifah (Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Uthman dan Saidina Ali) menjadikan umat Islam terus jatuh.

Kalau diperhalusi cara, corak didikan dan pembelajaran yang diterapkan serta pemakanan yang diamalkan, ianya sama seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Mungkin kita sebagai umat Islam tidak pernah mengambil berat dan menerapkan amalan itu di dalam kehidupan seharian.


Antara isinya..

Thursday, January 22, 2009

~Istimewa Buatmu Teman~


Selamat Berbahagia Teman..

Moga kau tabah dalam melayari bahtera kehidupan berumahtangga..
Jadilah suami yang sabar dan hebat di mata isterimu..
Didiklah dia selembut kejadian dan fitrahnya sebagai wanita..
Khas buat Shahmil & Hidayah..

Milikmu selamanya..

Semoga Berkekalan Hingga Ke Akhir Hayat..

Monday, January 19, 2009

~Siapa yang tak pernah menangis~


Siapa yang tak pernah menangis
Di hujung setiap tawa dan lupa
Siapakah yang di antara kita
Yang memalingkan muka
Ketika mendengar kalimah Tuhan…

Banyak bakti yang dapat diberi
Sepanjang hidup yang sesingkat ini
Lautan manusia berombakkan nafsu
Kebenaran terdampar di pantai kecewa

Airmata seperti mutiara
Apakah itu rasa keinsafan
Rintihan dari hati yang rindu
Apakah itu hakikat cintamu…