Sunday, August 31, 2008

~Menyingkap Tabir Ramadhan~


Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Hadith riwayat Al-Baihaqi di dalam Al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
Maksudnya:
Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

Hadith riwayat Al-Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadith qudsi:
Maksudnya: Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang.


Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang:
Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah swt membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima.

Kedatangannya dinanti, pengisiannya dicari.
Selamat Menyambut Ramadhan.

Wednesday, August 27, 2008

~Kemenangan atas kesabaran~


Kala ini asyik benar aku membaca blog teman-teman mengenai isu pilihan raya kecil Permatang Pauh. Sempat jugak aku singgah di laman blog saudara Najwan, saudara Adihamka begitu juga temanku saudari yang menggelarkan diri “Gadis Reformasi”. Menarik sekali tulisan dan idea teman-teman ini mengulas tentang senario politik tanah air. Sehingga tenggelam seketika bahang sambutan Kemerdekaan kali ke-51 tahun ini.

Bermula dengan sumpah laknat yang dibuat oleh saudara Saiful Bukhari Azlan. Diikuti dengan Timbalan Perdana Menteri kita sendiri (Najib Tun Razak) yang menafikan hubungannya dengan gadis Mongolia. Seterusnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Tajol Rosli menafikan beliau terlibat dengan kes dua exco kerajaan negeri yang ditahan.

Kini, tibalah giliran orang yang dituduh untuk mengangkat sumpah. Bukan sumpah laknat tetapi sumpah keramat. Bukan sumpah sampah (bak kata Najwan) tetapi sumpah mandat yang beri rakyat. Bukan sumpah dihadapan saksi-saksi yang belum ditentukan kelayakannya tetapi sumpah dihadapan Raja yang Berdaulat.

Di harap saudara Anwar dapat memikul tanggungjawab membela nasib rakyat dengan penuh dedikasi demi untuk anak bangsanya sendiri. Angkatlah martabat bangsa dan negara. Moga langkah-langkah ke Putrajaya menjadi kenyataan. InsyaAllah..

Sunday, August 24, 2008

~Kebahagian itu milikmu~


Selangkah kaki mu menuju bahagia telah kau lalui. Kebahagian yang kau impikan selama ini hampir kau kecapi. Terlalu banyak ranjau luka yang kau redahi sehinggakan kau pernah parah dihambat luka semalam.
Teman ku,
Kau cukup kuat kini untuk melangkah dan menggapai bahagia. Kebahagian itu harus kau nanti dengan penuh kesabaran. Luahan hati mu buat jejaka “pencuri hati” amat menyentuh jiwa. Moga si “pencuri hati” itu bisa mengerti dan berkongsi rasa yang tidak mungkin dapat diluahkan walaupun dengan perkataan dan madahmu yang puitis.
Aku sahabat mu mendoakan segala yang terbaik untukmu. Aku tumpang gembira dan bahagia bersama. Sabarlah dalam menjalani dugaan yang akan datang. Semailah rasa cinta itu bersama.
Pasti kau temui kebahagian..

Tuesday, August 12, 2008

~Redha~


Ku minta kepada TUHAN setangkai bunga segar
DIA beriku kaktus berduri
Ku minta kupu-kupu
Diberi ulat berbulu
Apabila aku sedih dan kecewa
Kemudian kaktus itu berbunga indah sekali
Dan ulat itu pun menjadi kupu-kupu yang cantik


Itulah jalan TUHAN, indah pada masanya.
TUHAN tidak selalunya akan memberi apa yang kita harapkan
Tetapi DIA akan memberi apa yang kita perlukan
Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka, tetapi jauh di atas sana segalanya DIA mengatur yang TERBAIK dalam kehidupan kita.

Monday, August 11, 2008

~Moga kau cepat sembuh~


Kepingin benar aku untuk bertemu dengan seorang insan yang aku cukup simpati dengan nasibnya. Di saat-saat kesakitan yang dia hadapi, sempat dia melemparkan senyuman padaku walaupun gelora dan gelisah dihati nampak benar coraknya. Insan ini sedang bergelut dengan dugaan yang telah Allah tentukan untuk hidupnya. Masih terngiyang-ngiyang kata-katanya padaku,

“Abang redha dengan ketentuan yang ditakdirkan. Abang sudah tenang sekarang. Kalau dulu, tiga bulan abang menangis sebab tak boleh terima kenyataan.”

Di saat aku bertemu dengannya buat kali pertama, dia seorang yang sangat baik, peramah dan gemar memberikan nasihat. Kini, walaupun keupayaannya semakin berkurangan dia tetap memberikan nasihat untuk diperingatkan kepada mereka yang masih sihat. Ada juga dia menyatakan hasrat untuk menulis catatan hariannya dan berkongsi cerita dengan mereka yang sihat untuk dijadikan peringatan. Katanya,

“Sewaktu sihat gunakanlah sebaik-baiknya. Bila dah sakit banyak perkara yang tidak dapat kita buat. Bila sakit, solat pun tak khusyuk sebab banyak perkara yang kita fikir dan bayangkan. Tapi, abang redha.”

Sesekali air matanya mengalir tika berkata-kata. Kesedihan dan kekuatan bercampur baur. Rupa bentuk fizikal menunjukkan yang dia berada di dalam keadaan tidak stabil. Ketahanan semangat dan kesetian isteri menemaninya membuatkan dia terus bertahan. “Rumah sakit” diibaratkan seperi rumah keduanya. Kerisauan anak-anak ditenteramkan dengan kata-kata bahawa dia tidak sakit dan tidak apa-apa.

Pendarahan kerap benar berlaku. Kilang darah sudah tidak berfungsi dengan baik. Tanda-tanda merah di badan menunjukkan sistem darahnya berfungsi dengan lemah. Semua itu tidak pernah melunturkan semangatnya. Dia masih terus bertahan dan berusaha untuk melawan penyakitnya. Kagum benar aku melihat kekuaatannya. Akan kupanjatkan doa pada Allah agar kau cepat sembuh. Kau adalah orang-orang yang Allah pilih untuk mendapat kasih sayang dariNYA. Kau adalah hamba-hambaNYA yang soleh. Moga kau sentiasa sabar dan tenang.


Tuesday, August 5, 2008

~Bicara Semangat~

Keheningan malam bagai mengerti
Kesepian yang lalu cuba dilenyapkan
Kekosongan yang lalu cuba diisi
Kekuatan ku sisip meneruskan perjalanan

Kuatkan langkahmu
Kuatkan semangatmu
Teruskan perjalananmu

Moga kekuatan itu kau raih
Moga kecekalan itu membimbing semangat
Sabar dan tenang itu bekalmu
Jalanilah ianya dengan senyuman
Pasti Allah bersamamu..

Thursday, July 31, 2008

~Barisan-barisan di akhirat~

Barisan pertama:
Diiringi dari kubur dalam keadaan tidak bertangan & berkaki. Keadaan ini dijelaskan melalui seruan Allah S.W.T:
"Mereka orang2 yg menyakiti hati jiran sewaktu hidup mereka. Mereka yang sombong & tidak berbuat kebaikan kepada jiran tetangga akan mendapat kehinaan di dunia mahupun di akhirat”.
Firman Allah: “Aku akan memalingkan hati orang yg sombong serta takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yg benar dari (memahami) ayat2 ku (yang menunjukkan kekuasaan ku), itulah balasan & tempat kembali mereka adalah neraka”.

Barisan ke-2:
Diiringi dari kubur dalam bentuk babi hutan datang seruan Allah:
"Mereka orang yg meringan2kan solat sewaktu hidup,sesungguhnya orang yang memelihara solat 5 waktu akan dihindari dari siksa kubur sebaliknya, mereka yang mengabaikan maka waktu dia mati, mayatnya akan dihimpit oleh liang lahat sehingga berselisih tulang rusuk”.
Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba apabila dia berdiri untuk bersolat, maka diletakkan semua dosanya di atas kepala & kedua2 bahunya, maka setiap kali dia rukuk atau sujud, berjatuhanlah dosa2 itu".

Barisan ke-3:
Diiringi dari kubur dengan bentuk keldai & perut penuh ular serta kala jengking. Mereka adalah orang yang enggan membayar zakat ketika hidupnya walaupun pada ketika itu mereka tergolong dalam orang yg berkemampuan. Inilah balasannya & tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan ke-4:
Diiringi dari kubur dalam keadaan darah memancut keluar dari mulut. Mereka adalah antara orang yang suka berdusta ketika berjual beli. Berniagalah dengan jujur serta amanah agar hasil yang diperolehi datang dari sumber yg halal.

Barisan ke-5:
Diiringi dari kubur dalam keadaan berbau busuk seperti bangkai ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman padang mahsyar. Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka, takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula takut kepada Allah. Inilah balasannya & tempat mereka juga adalah neraka.

Barisan ke-6:
Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala terputus dari badan mereka adalah orang yang dahulunya menjadi saksi palsu.

Barisan ke-7:
Diiringi dari kubur tanpa lidah tetapi mengalir darah & nanah dari mulut mereka. Mereka ini adalah orang yang enggan memberi kesaksian kebenaran.

Barisan ke-8:
Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik, kepala ke bawah & kaki ke atas. Mereka adalah orang yang melakukan zina. Tempat mereka juga adalah di neraka. Sabda rasulullah: "Tiada bersunyi2an antara seorang lelaki & wanita melainkan wujudnya syaitan sebagai orang ketiga antara mereka”.

Barisan ke-9:
Diiringi dari kubur dengan wajah hitam & bermata biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh mereka adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya.

Barisan ke-10:
Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh berpenyakit sopak & dipenuhi kusta. Mereka ini adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa sewaktu hidupnya.

Barisan ke-11:
Diiringi dari kubur dalam keadaan buta, gigi panjang seperti tanduk lembu jantan, bibir terjuih hingga ke dada & lidah terjulur hingga ke perut serta keluar pelbagai kotoran yg menjijikkan. Mereka ini adalah orang yang minum arak sewaktu hidupnya.

Barisan ke-12:
Diiringi dari kubur dengan wajah bersinar2 seperti bulan purnama. Mereka melalui titian Siratulmustakim seperti kilat. Datang suara dari sisi Allah yang memaklumkan “mereka semasa hidupnya adalah orang yang beramal salih & melakukan kebaikan”.
Mereka juga menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat lima waktu & meninggalkan dunia dalam keadaan bertaubat. Inilah balasan mereka & tempat kembali mereka adalah syurga, beroleh keampunan, kasih sayang & keredhaan Allah S.W.T.

Monday, July 28, 2008

~Ikhlas Dariku.. Hayatilah~

Aku bukan seperti engkau sangkakan
Pura-pura di dalam berjuang
Aku tidak pandai menyulam rahsia
Juga tak pandai kubermadah pujangga

Jika ada benci di hati
Oh katakanlah padaku
Relaku terima walau kutukan
Asalkan aqidah terjaga

Kerana tidak sanggup lagi
Mempermainkan restu Ilahi
Hakikat hati tak terluka
Walau zahirnya ada yang ketawa

Tuhan kumohon keampunan
Ketelanjuran yang berulang kali
Teman kita paterikan di sini
Berakhir sebuah lamunan duniawi
Terima syukur taufiq Ilahi

Thursday, July 17, 2008

~Buat negara yang ku cintai~

Pergolakkan politik negara semakin memuncak. Satu-satu kejadian akan kita lihat seterusnya dari hari ke hari. Kejadian yang akan mengejutkan atau mungkin sudah dijangkakan oleh sesetengah masyarakat dan aktivis politik.

Di kesempatan ini, tidaklah aku ingin mengulas lanjut berkenan beberapa kejadian yang telah berlaku sepanjang bulan ini. Sudah pasti terlalu banyak pandangan dan kritik yang telah diberikan oleh blogger dan pembaca blog yang setia untuk mengetahui perkembangan yang terkini. Anda boleh singgah di beberapa blog yang telah memberikan komen-komen dan pendapat masing-masing.

Sama ada politik negara akan kembali stabil daripada kes-kes yang “hangat” yang telah dibangkitkan, kita tunggu dan lihat serta nilai dengan pemikiran yang rasional. Tanamkan di hati bahawa setiap manusia yang terlibat itu adalah manusia yang tidak pernah sempurna. Kiranya di mata rakyat pentadbiran Pak Lah kurang memberangsangkan, anggaplah ianya manusia biasa. Kiranya di mata rakyat Anwar Ibrahim itu pesalah (sebelum dibuktikan dengan 4 orang saksi mengikut hukum Islam) anggaplah ianya juga manusia biasa. Jangan mengharapkan kesempurnaan dari insan yang bernama “manusia”. Kelak kita akan kecewa dengan keputusan sendiri.

Sama-samalah kita doakan agar umat Islam di Malaysia yang kita cintai ini akan hidup aman sejahtera. Kukuhkan ekonomi berlandaskan Islam, pentadbiran kerajaan yang telus dan terakhir sekali kesenangan bersama yang boleh dirasai oleh rakyat. Ini adalah lebih penting dari segala-galanya. Oleh itu, renung-renungkanlah…

p/s: Hisablah diri sendiri, renungkan kelemahan yang ada dan perbaiki kelemahan itu. InsyaAllah, Allah akan sentiasa memberikan redhaNYA.

Wednesday, July 9, 2008

~Maafkan aku IBU~

Tatkala ini aku dihimpit pelbagai dugaan. Semua perasaan bercampur baur. Tak dapat aku luahkan. Tiada kata-kata yang dapat aku berikan untuk aku mulakan bicara.

Ibu…. Tatkala ini hatiku amat sedih. Anakmu ini tidak bisa kehilangan sinar dan kasih sayangmu. Aku tidak mungkin hidup tanpa kasih sayang dan perhatianmu. Tidak terniat untuk ku mengguris walau barang seinci perasaanmu. Melihat setitis air matamu ibarat luka yang pedih bagiku. Mengertilah ibu. Aku ingin bersendirian buat tika ini. Walaupun pada hakikatnya “bersendirian” itu amat aku takuti.

Mungkin sekarang ini aku sedang menerima setiap balasan dari Tuhan atas kesilapan yang aku lakukan. Biarlah aku sendirian yang lalui. Tidak ku izinkan kau melalui apa yang sedang aku lalui. Segalanya aku pendam kemas di dalam hati. Aku hanya mahu lihat kebahagianmu. Ampunkan segala dosa-dosaku sejak aku dilahirkan sehingga ke hari ini.

Mengapa manusia sering menyakiti orang lain? Mengapa manusia tidak cuba faham perasaan orang lain? Mengapa manusia hanya mahu menyalahkan orang lain? Kenapa tidak dilihat dulu kekurangan diri sendiri sebelum menilai orang lain? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Hati sering tertanya-tanya. Berilah aku jawapan…...

Sunday, June 29, 2008

~Gempar! Anwar liwat lagi....?~

Picture 1 : Sidang Media oleh DS Wan Azizah.
Picture 2 : Saiful Bahari berbaju biru.

Khabar angin semakin tersebar luar. Kini ia kembali lagi. Adakah motif dan tujuannya sama? Dari apa yang dilihat pendekatan dan jalan ceritanya mungkin sama. Cuma pelakonnya berbeza.

Berita konspirasi untuk menjatuhkan Anwar untuk kali yang ke-2 dengan tuduhan liwat oleh pembantu di pejabat Anwar sendiri. Sumber dari Parti KeADILan Rakyat melalui sistem mesejnya telah menyebarkan berita "polis telah menahan pembantu khas DSAI, Sdr Saiful Bahari petang ini 28 Jun dan memaksa beliau membuat pengakuan diliwat oleh DSAI. Polis juga dijangka menangkap DSAI malam ini juga. Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu yang dianggap cuba mengulangi kes serupa pada 1998.

Siapa Saiful Bahari ini? Mengikut fakta, Saiful Bahari ini merupakan bekas pembantu di Pejabat TPM Najib, bekas MPP UNITEN yang tidak berjaya menamatkan pelajaran. Saiful Bahari ini juga merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu.

Saturday, June 28, 2008

~Kerinduan~

Aku sudah semakin jauh. Jauh berlari meninggalkan diriku yang dulu. Ke manakah hilangnya diriku yang dulu? Soalan itu sering aku tanyakan pada diriku. Mengapa sukar benar rasanya untuk aku keluar dan menentukan sesuatu untuk kebahagian. Apa yang menghalang dan menyekat rasa itu. Sebenarnya aku terlalu rindu. Sebenarnya aku resah. Sebenarnya aku tidak tenang. Sebenarnya aku menagih cinta yang abadi. Aku terlalu rindu. Sesekali datangnya sepi tika aku cuba untuk mencari kecerian. Sepi yang amat aku takuti. Mungkin rasa sepi seperti hilangnya orang-orang yang paling aku sayang. Satu rentapan yang bisa mengubah segalanya. Aku cuba untuk melupakan segala rasa yang bersarang di dalam diriku. Aku cuba untuk jadi kuat. Aku cuba untuk jadi tabah. Aku cuba untuk membuat satu keputusan. Tapi bila aku mendapat kekuatan itu dan mula untuk jadi tabah, aku tidak berdaya untuk meneruskannya. Aku begitu rungsing.

Sering benar air mata ini tumpah bila mengenangkanmu Ya Allah. Hatiku ingin selalu bersamamu. Kau bawalah aku bersama mendapat redhamu. Aku terlalu jauh meninggalkanmu. Terlalu jauh jarak yang aku lakar. Terlalu hina kurasakan diri ini tika berdepan denganmu. Aku inginkan kekuatanmu. Aku ingin redhamu. Aku inginkan cahaya nurmu. Kesegalanya aku rindukan. Jangan KAU ragut ketenanganku, jangan KAU ragut senyumanku, jangan KAU ragut kekuatanku. Aku mohan Ya Allah.

Wahai pelangi hadirlah dikau. Walaupun ianya bukan sesuatu yang dapat aku pastikan. Walaupun sementara hadirmu akan aku hargai. Sinarilah sedikit jalanku yang gelap ini. Agar aku tidak terus jatuh dan terkapai-kapai.

Monday, June 23, 2008

~100 Hari Pakatan Rakyat~

Telah lama saya nantikan untuk turut serta dalam perhimpunan yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat. Namun masa tidak terlalu mengizinkan untuk berada di dalam kelompok rakyat yang sentiasa bersemangat dalam perjuangan menuntut hak mereka ini. Masa selalu mencemburui. Akhirnya Jumaat lalu saya berpeluang untuk ‘menghadirkan diri’ di majlis Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Shah Alam. Kebanjiran rakyat telah menutupi separuh dari kerusi-kerusi yang ada di stadium tersebut. Kehadiran mereka menunjukkan bahawa segala usaha dan tanggungjawab yang telah mereka laksanakan pada pilihanraya lalu akhirnya terbayar. Kerajaan negeri Selangor ingin menunjukkan penghargaan yang tidak terhingga kepada rakyat khususnya melalui sambutan ini. Penyatuan rakyat yang berbilang kaum dapat dilihat dengan jelas dengan kehadiran mereka. Kehadiran tokoh-tokoh Pakatan Rakyat telah menyemarakkan lagi sambutan ini seperti Datuk Hasan Ali, Datuk Khalid Ibrahim dan juga semestinya pemidato yang hebat Datuk Seri Anwar Ibrahim.




Friday, June 13, 2008

~Demonstrasi Bantahan~


"DEMONSTRASI BANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK"
pada
13 Jun 2008 (Jumaat)
2.00 petang (selepas solat Jumaat)
Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur (akan berarak ke KLCC selepas solat)

Wednesday, June 11, 2008

~Adakah ianya akan menjadi kenyataan...?~

~Made by my friend Marini Kamal Amir~